ATLET  negara yang beraksi di Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia tiba di KLIA semalam.
ATLET negara yang beraksi di Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia tiba di KLIA semalam.

Sepang: Dua emas menjadi sasaran Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Itu harapan Presiden PMM Datuk Muhammad Shahnaz Azmi bagi memastikan sukan seni mempertahankan diri itu turut membantu kontinjen negara bergelar juara keseluruhan.

“Kami menaruh harapan sekurang-kurangnya atlet negara mampu mengulangi pencapaian di Sukan SEA 2013 iaitu meraih dua emas.

“Proses pemilihan akan bermula dari 14 hingga 16 September ini membabitkan 150 peserta terbaik dari seluruh negeri. Namun untuk peringkat awal, dua peserta bagi setiap kategori yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2017 akan terpilih iaitu 10 atlet,” katanya.

Muay thai antara empat sukan yang disenaraikan selepas mengemukakan rayuan dan akan mempertandingkan lima kategori lelaki.

“Juara setiap kategori akan terpilih untuk latihan sepenuh masa bermula bulan depan manakala lima atlet kedua akan dipilih berdasarkan fizikal kerana aspek ini memainkan peranan dalam sukan tempur.

“Mereka akan didedahkan dengan 10 hingga 15 kejohanan amatur sebelum kami menamakan wakil tunggal untuk setiap kategori pada Mac depan,” jelasnya.

Sementara itu mengulas pencapaian cemerlang atlet di Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia, Shannaz mengakui kejayaan itu memberi suntikan semangat kepada mereka.

“Kami ke Thailand tanpa sebarang sasaran emas namun kejayaan membawa pulang tiga emas memberikan gambaran masa depan yang cerah kerana Sukan SEA 2019 di Filipina dan 2021 Vietnam turut mempertandingkan sukan ini.

“Malah muay thai dalam landasan untuk membida disenaraikan bagi Olimpik 2024,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:20 AM