SEORANG lelaki menunggang motosikal melintasi rangka sebuah bas yang dibakar ketika pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan di Ahmedabad, semalam.
SEORANG lelaki menunggang motosikal melintasi rangka sebuah bas yang dibakar ketika pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan di Ahmedabad, semalam.
Agensi

New Delhi: India semalam mengerahkan pasukan separa tentera dan menguatkuasakan perintah berkurung di Gujarat, negeri di barat negara itu selepas keganasan meletus berikutan tunjuk perasaan yang diketuai masyarakat sebuah kasta berpengaruh.

Tunjuk perasaan itu diadakan untuk menuntut lebih banyak pekerjaan di sektor kerajaan dan tempat di kolej.

Perdana Menteri Narendra Modi yang menjadi ketua menteri di negeri itu selama lebih 10 tahun sebelum memimpin Parti Bharatiya Janata memenangi pilihan raya umum dan membentuk kerajaan tahun lalu, menggesa penduduk bertenang.

Sekurang-kurangnya setengah juta penduduk kasta Patidar atau Patel berhimpun di bandar raya Ahmedabad, menuntut kerajaan mengubah dasar yang menurut mereka menindas masyarakat itu.

Pertempuran meletus selepas pemimpin pergerakan itu, Hardik Patel, 21, ditangkap. Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan menyerang penunjuk perasaan dengan belantan untuk menyuraikan mereka.

“Penghasut bertempur dengan polis dan anggota kasta rendah. Mereka membakar sembilan balai polis dan lebih 30 bas,” kata pegawai kanan polis negeri Thakur.

Patels, komuniti kaya di India dan di seberang laut, menjadi penggerak ekonomi dengan menguasai perniagaan berlian, minyak dan tekstil.

Bagaimanapun, menurut mereka, pengagihan peluang berniaga, pekerjaan dan mendapatkan tempat di kolej berdasarkan kasta menindas masyarakat itu.

Penunjuk perasaan itu mendesak kerajaan menamatkan dasar yang memihak kepada penduduk Islam dan kasta rendah Hindu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 7:33 AM