FELLAINI (dua dari kanan) meraikan gol di Old Trafford.
FELLAINI (dua dari kanan) meraikan gol di Old Trafford.
AFP

Paris: Manchester United dilihat cuba melengkapkan tugas menentang Club Brugge pada perlawanan kedua play-off Liga Juara-Juara awal pagi esok, manakala kelab Itali, Lazio mungkin perlu berusaha lebih sedikit bagi memastikan tempat ke peringkat kumpulan.

Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu memiliki kelebihan dua gol untuk dibawa ke Belgium selepas menang 3-1 di Old Trafford minggu lalu, manakala Lazio mempunyai kelebihan tipis 1-0 bagi perlawanan kedua menentang Bayer Leverkusen di Jerman.

Kemenangan 2-0 buat Brugge di Stadium Jan Breydel sudah cukup membantu mereka mara mengatasi United menerusi peraturan gol di tempat lawan, namun United, juara tiga kali Liga Juara-Juara yakin selepas gol lewat Marouane Fellaini pada perlawanan pertama.

“Ia (gol Fellaini) menjadi perbezaan kerana 2-1 pasti menyukarkan kami,” kata bos United, Louis van Gaal.

Bos Brugge, Michel Preud’homme sebaliknya kurang yakin sesudah melepaskan gol ketiga di Manchester.

“Gol terakhir itu tidak membantu keyakinan,” kata bekas pemain kebangsaan Belgium, Preud’homme.

“Mengaibkan kami melepaskan gol itu,” ujar pengendali berusia 56 tahun itu, yang mengemudi Brugge memenangi Piala Belgium musim lalu.

Manchester United - juara pada 1968, 1999 dan 2008 - tidak tampil pada pertandingan itu musim lalu, namun sebelumnya layak ke peringkat kumpulan 18 tahun berturut-turut.

Lazio hadir ke Bayer Leverkusen dengan harapan mempertahankan kelebihan satu gol dan mara ke peringkat kumpulan kali pertama sejak musim 2007-08.

Gol Keita Balde Diao pada babak kedua di Stadium Olimpik di Rome menjadi pemisah kedua-dua pasukan minggu lalu, namun Leverkusen berpengalaman luas dengan layak ke pusingan kedua dalam tiga daripada empat musim terakhir dan hanya disingkirkan menerusi sepakan penalti oleh naib juara 2014, Atletico Madrid pada peringkat itu musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 8:14 AM