PEMAIN Leicester Demarai Gray membuat percubaan ke arah pintu gol Club Brugge pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi. FOTO AFP
PEMAIN Leicester Demarai Gray membuat percubaan ke arah pintu gol Club Brugge pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

Leicester, United Kingdom: Pengurus Leicester City Claudio Ranieri berdepan satu lagi cerita dongeng selepas pasukannya yang diberi penilaian rendah 5000-1 menempah tempat ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Leicester yang bergelut dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan kini dua mata dipisahkan dengan zon relegasi menewaskan Club Brugge 2-1 untuk layak ke peringkat 16.

Ditanya kelab Eropah mana mahu menjadi lawan mereka, sambil tersenyum Ranieri berkata:”Saya tak tahu. Ia tidak penting, percayalah saya”.

“Saya berharap kami berada dalam kedudukan terbaik di sana nanti. Itu penting. Nama tidak penting. Ia akan menjadi satu lagi kisah dongeng. Menang, kalah bukan perkara utama. Yang penting berada di sana.”

Kemenangan itu juga memberi bonus kepada Leicester untuk berada di tangga teratas Kumpulan G, bermaksud mereka akan dipasangkan dengan pasukan tempat kedua pada majlis undian bulan depan.

Pasukan seperti Real Madrid atau Bayern Munich mungkin menjadi lawan Leicester yang bakal menjadi tuan rumah dengan kapten Wes Morgan tidak menolak kemungkinan itu.

“Satu perasaan yang fantastik apabila mara ke pusingan 16. Ia mengatasi apa yang kami bayangkan,” kata bek tengah kelahiran Jamaica itu kepada BT Sport.

“Bagi Leicester yang tampil selaku muka baharu dan menamatkan saingan sebagai juara kumpulan adalah satu pencapaian cukup membanggakan. Keputusan terbaik dan persembahan menakjubkan.”

Ketika wisel penamat dibunyikan, penyokong Leicester bersorak gembira sambil berteriak: “Kami akan ke Jelajah Eropah!”. Namun ketika penyokong dilihat terlalu yakin, Ranieri mah pemainnya mengerah tenaga menghadapi saingan domestik.

“Fokus perlu kekal untuk saingan Liga Perdana kerana saya mahu pemain memberikan perhatian serius,” kata jurulatih kelahiran Itali itu.

“Tugasan awal kami dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah sudah terlaksana. Kami berjaya lepasi saingan awal. Saya tak tahu pasukan mana akan kami temui tetapi pasti lawan yang cukup hebat.

“Namun kini kami perlu kembali ke alam nyata. Kedudukan yang semakin hampir dengan zon relegasi amat berbahaya dan kami perlu mempamerkan aksi lebih berkualiti dalam saingan domestik. Fokus kini Liga Perdana.”

Gol Leicester dijaringkan Shinji Okazaki seawal minit kelima dan penalti Riyad Mahrez minit ke-30 sebelum Jose Izquierdo menjaringkan gol tunggal Brugge pada separuh masa kedua aksi di Stadium King Power.

Penyandang juara Real Madrid turut ke pusingan kalah mati bersama-sama Juventus, Bayer Leverkusen dan Monaco.

Mereka menyertai naib juara musim lepas Atletico Madrid, Arsenal, Paris Saint-Germain, Bayern Munich dan Borussia Dortmund yang sudah mengesahkan tempat lebih awal.

Sepuluh lagi pasukan akan melengkapkan pusingan 16 itu iaitu Benfica, Napoli, Besiktas, Barcelona dan Manchester City yang akan turun beraksi awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 12:40 PM