Oleh Ardini Sophia Sina

Melihat barisan finalis program realiti Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) yang bakal berentap di pentas akhir malam ini, masing-masing mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri.

Ketiadaan Azwan yang terkandas di peringkat separuh akhir Ahad lalu, dan ruang kosong diisi Adel yang dipilih semula menerusi AF Serap pasti membuatkan jangkaan orang ramai untuk juara menjadi kelam apabila setiap minggu menyaksikan Azwan mendapat markah tinggi.

Daripada lima peserta final itu, mungkin Aman dikatakan pelajar kurang menyerlah. Tambah pula apabila juri tetap, Datuk Ramli MS memberi komen bahawa bidang nyanyian bukan cabang seni yang sesuai dengannya.

Namun, kuasa pengundi yang menyokong anak muda ini tidak boleh diperlekehkan. Tidak mustahil jejaka yang nyanyiannya sering dikritik bakal memegang gelaran juara AF 2014.

Peningkatan undian pada Nuha, Ewal dan Firman turut membuktikan saingan semakin sengit. Sebaik Adel kembali melangkah masuk ke akademi dan undian dibuka semula, sokongan terhadap Adel mengatasi pelajar lain.

Sudah pasti tekanan buat Adel lebih berat daripada peserta lain. Adel menjadi pelajar keenam tersingkir dan meninggalkan kelas selama dua minggu. Banyak ilmu perlu dipelajari bagi memperbaiki teknik nyanyiannya.

Pengetua AF 2014, Datuk Hattan berkata, sepanjang proses pemilihan itu berjalan, dia mengakui kurang tidur dan melakukan solat istikarah meminta petunjuk supaya pilihan dilakukan itu tepat.

Katanya, dia meminta Astro melakukan AF Serap dan bukan AFUNDI seperti pernah dijalankan sebelum ini.

"Kami inginkan pelajar yang dimasukkan kembali sememangnya berbakat dan bukan sekadar popular. Untuk memilih mereka, kami menonton persembahan pelajar dari minggu pertama hinggalah saat mereka tersingkir.

"Ia sangat sukar dan memberi tekanan sangat besar. Kami membuat pemilihan berdasarkan vokal, komitmen, sikap dan ketekunan. Populariti perkara terakhir dalam penilaian kami.

"Daripada tujuh pelajar, kami kecilkan skop menjadi lima, kemudian bertukar tiga orang. Seluruh kru produksi terbabit dalam pemilihan ini dan saya turut bertanya pendapat mereka mengenai setiap pelajar AF.

"Semua aspek itu diambil kira ketika melakukan AF Serap," katanya.

Dari kaca mata bukan hanya pengetua tetapi juga artis yang berpengalaman dengan selok-belok industri muzik tanah air, pasti dia mempunyai pandangan sendiri mengenai calon juara kali ini.

Hattan akui sangat sukar menentukan siapa juara, tambah pula kemenangan beradasarkan undian dan ia sesuatu yang sukar diramal.

"Saya tidak pasti siapa bakal menjadi juara tetapi andai ditanya secara peribadi, kemungkinan Nuha, diikuti Firman. Bagaimanapun, kita tidak boleh sangkal sokongan terhadap Adel, Ewal dan Aman yang sangat kuat.

"Kemungkinan juga Firman atau Ewal menjadi juara. Kita tidak tahu. Kita tunggu saja keputusannya. Saya berdebar menanti bakal juara diumumkan," katanya.

Terkenal dengan kejutan, keistimewaan untuk konsert kali ini tidak dikongsikan lagi. Ia bagi menimbulkan keghairahan penonton supaya terus mengikuti pertandingan akhir AF 2014.

Bagaimanapun, yang jelas, format AF ketika mula-mula diperkenalkan dulu dikembalikan tahun ini dan resipi itu menjadi apabila ia menjadi bualan hangat di media sosial terutama dengan kehadiran inisiatif terbaru iaitu, Juri Juara yang menampilkan bekas juara AF, Hafiz dan Stacy. Hanya tahun lalu ia berbeza apabila kelainan diwujudkan kerana AF kembali semula selepas beberapa tahun berehat.

Seperti pertandingan sebelum ini, masing-masing akan menyanyikan lagu yang dicipta khas buat mereka.

Adel akan mendendangkan lagu Cinta Dan Tasbih, vokal Ewal akan diuji dengan lagu Kembalikan Semula, manakala Firman dengan lagu Di Pintu Mu.

Aman akan menyanyikan lagu Without You dan Nuha membuktikan dia bukan hanya mempunyai suara yang baik tetapi juga kemahiran menulis lagu apabila menyampaikan lagu Kali Pertama.

Saksikan malam ini pentas akhir AF2014 secara langsung dibawakan dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula jam 9 malam.

Penonton di rumah boleh menyaksikan konsert akhir ini menerusi saluran Astro Ria (104) dan Maya HD (135). Tiket boleh dibeli dengan harga RM20 untuk standard, RM50 (Premium), RM100 (Deluxe) dan RM999 (VIP) dengan kemudahan barangan premium ditandatangani Zizan Razak, sesi fotografi eksklusif, kunjungan ke Diari AF, pengalaman karpet merah, penginapan hotel lima bintang serta pengangkutan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:02 AM