Kuala Lumpur: Skuad basikal trek remaja negara yang beraksi di Kejohanan Trek Remaja Dunia di Astana, Kazakhstan menutup tirai kejohanan tanpa sebarang pingat namun membawa pulang rekod baru Asia dan kebangsaan.

Pencapaian trio pecut negara itu melegakan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) selain prestasi beberapa pelumba remaja yang menunjukkan peningkatan.

Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad berkata, keupayaan pelumba menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia dan berada dalam senarai kelima terbaik Asia mencapai sasaran yang diletakkan kepada mereka.

“Saya belum mendapat laporan lengkap namun berdasarkan beberapa keputusan, saya berpuas hati dengan pencapaian kali ini biarpun kita gagal membawa pulang sebarang pingat.

“Berada dalam kelompok ke-10 dunia dan antara lima terbaik Asia adalah sasaran yang ditetapkan dan pelumba negara menunjukkan potensi baik untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Malaysia menghantar empat pelumba beraksi dalam enam acara antaranya pecut berpasukan, pecut individu, keirin, scratch, perlumbaan mata dan kejar mengejar individu.

Wakil negara dalam acara perlumbaan mata dan scratch tidak bernasib baik apabila gagal menamatkan perlumbaan kerana terbabit dengan kemalangan.

Pencapaian terbaik pelumba negara hadir menerusi gandingan Mohd Shariz Efendi Shahrin, Mohd Khairil Nizam Rasol and Mohd Fadhil Mohd Zonis yang menduduki tempat keenam dan melakarkan rekod baru Asia dan kebangsaan bagi kategori junior.

Manakala Shahriz yang beraksi dalam acara pecut individu menamatkan saingan di kedudukan kelapan dalam acara yang dikuasai oleh pelumba Korea, Park Je One. Tempat kedua milik pelumba Republik Czech Jiri Janosek dan Moritz Meissner dari Jerman ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 8:33 AM