Beijing: Juara baru 100 meter dunia, Usain Bolt kembali untuk menghangat balapan di Kejohanan Dunia di Beijing apabila beraksi dalam acara 200 meter yang menjadi kegemarannya.

Bolt mengatasi pesaing utamanya, Justin Gatlin dengan kelebihan satu per seratus saat untuk menjuarai acara 100 meter di Stadium Sarang Burung, kelmarin.

Atlet Jamaica itu bergelut musim ini dengan pelbagai masalah kecederaan tetapi berjaya mencatat masa 9.79 saat untuk menjuarai acara itu.

Tumpuannya kini terarah kepada acara 200 meter dan dia mahu menang buat kali keempat berturut-turut selepas menjuarai acara berkenaan di Berlin, Daegu dan Moscow sebelum ini.

“Saya tidak ada masalah. Saya cergas dan sudah berehat dengan cukup,” kata Bolt.

“Saya berjumpa dengan jurulatih (Glen Mills) selepas separuh akhir dan beliau memberitahu saya ‘Anda terlalu memikirkan soal masa’. Saya rasa pandangan beliau tepat kerana itulah yang saya lakukan. Saya rasa kaedah sama akan membantu saya untuk acara 200 meter.

“Justin mencatat masa baik sepanjang musim ini,” kata juara Olimpik itu. “Saya tidak akan sesekali menarik diri hanya kerana sedar dengan catatan hebat yang dilakukannya. Ia adalah acara kegemaran saya dan saya mahu melakukannya.”

Selain Bolt, bintang jarak sederhana, Genzebe Dibaba dan David Rudisha akan bersaing dalam final acara wanita 1,500 dan lelaki 800 meter.

Rudisha yang juga juara Olimpik akan muncul untuk acara dua pusingan yang biasanya dianggap paling sukar dalam setiap acara olahraga.

Bintang Kenya itu berdepan cabaran pelari Ethiopia Mohammed Aman, atlet Botswana Nijel Amos dan bintang Bosnia Amel Tuka.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 8:21 AM