Oleh Siti Zarinah Sahib

Kepelbagaian selendang di pasaran menjadikan bentuk ­ikatan juga sentiasa berubah. ­Daripada ­selendang ­berbentuk panjang, segi ­empat tepat, separuh bulan dan rama-rama, ­wanita berlumba-lumba mencari teknik ikatan terkini yang lebih versatil, moden dan selesa digayakan.

Jika diperhatikan, kebanyakan wanita ­menggemari selendang daripada satu warna dan kini menggabungkan dua atau tiga warna bagi ­menampakkan kesan ­lebih menyerlah. Penggunaan warna lembut ­seperti merah jambu, biru, ungu dan hijau masih mendapat tempat dan sesuai ­digayakan dengan busana rona sedondon.

Menurut ­pemilik butik TeaAmor ­Tiara, Ezlin Zabri, fabrik sifon lebih sesuai ­digayakan kerana sifatnya yang ­beralun dan senang dibentuk. Oleh itu dia ­berusaha menghasilkan rekaan berbeza menerusi gabu­ngan dua atau tiga warna menggunakan fabrik ini.

"Pada mulanya saya menjual selendang ­sewarna, tetapi memikirkan trend wanita masa kini yang gemarkan selendang dua dan tiga warna, saya cuba menghasilkan­nya, namun cabarannya, tidak semua warna sesuai dipadankan. Saya memakai­nya terlebih dulu dan ­sekiranya ­sesuai dan selesa barulah saya menghantar ke kilang," katanya yang gemar ­menggunakan merah jambu dan biru ­sebagai warna asas rekaan.

Selain warna, ­kualiti jahitan juga amat dititikberatkan. Kekemasan jahitan terutama pada bahagian atas iaitu ­tempat letaknya pada muka membezakan selendang TeaAmor Tiara dengan jenama lain. Selendang yang mudah dibentuk, ­tidak berubah kedudukannya walaupun dipakai lapan jam sehari serta nampak manis apabila digayakan. Ini menjadi kriteria pelanggan ketika membuat pilihan.

"Oleh sebab itu bagi setiap selendang, jahitan yang kemas dan ­berkualiti menjadi jaminan kepada pelanggan," katanya yang menjual selendang pada harga RM15 hingga RM59.

Selain selendang, dia juga menjual tudung ­bersengkuap dan Syria kerana masih menjadi pilihan pelanggan. Bagi mereka yang ingin mencuba teknik lilitan selendang TeaAmor Tiara, boleh mengikuti langkah di bawah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:00 AM