TERTUDUH (tengah) dijatuhi hukuman penjara tiga bulan. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
TERTUDUH (tengah) dijatuhi hukuman penjara tiga bulan. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Helmy Abd Rahman Abdul Hamid


Kuala Terengganu: Pemandu lori dijatuhi hukuman tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengangkut 115 kotak rokok tidak sah bernilai lebih RM40,000, 19 Januari lalu.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap tertuduh B Nesa Gandh, 35, berkuat kuasa tarikh sabitan hari ini.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa membawa barangan larangan tersebut dari Kuala Lumpur ke bandar raya ini menggunakan lori dan sebelum dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri dalam serbuan di Plaza Tol Gemuruh.

Lelaki itu kemudian ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada 8.30 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM805,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syahri Adnan, manakala pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa JKDM Terengganu, Mohd Redzuan Hamdan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 3:35 PM