PRESTASI sehingga 200 hp.
PRESTASI sehingga 200 hp.

Naza Premira Sdn Bhd selaku pengedar Aprilia di Malaysia, tampil dengan dua motosikal berkuasa tinggi menarik membabitkan Aprilia RSV4 RF Edisi Terhad serta Aprilia Tuono V4 1100 Factory.

Aprilia RSV4 RF Edisi Terhad hanya ditawarkan 500 unit seluruh dunia yang mempunyai ciri pakej perlumbaan termasuk menggunakan rim aluminium serta penggantungan Ohlins.

Penampilannya membawa kombinasi sempurna selepas dibangunkan dalam terowong angin bagi menjuruskan aerodinamik supaya memberi perlindungan kepada penunggang.

Enjin yang terkuat dibina oleh Aprilia, itulah kehebatan rangkaian kuasa jentera berkenaan. Ia memberi kuasa sehingga 200 kuasa kuda sekali gus menjadikannya motosikal paling mencabar untuk penunggang.

Namun, ia dilengkapi pelbagai ciri elektronik terkini untuk memudahkan tunggangan selepas padanan Kawalan Tunggangan Prestasi Aprilia (APRC), Kawalan Tarikan Aprilia dan ‘Aprilia Wheelie control’. Ia juga ditawarkan dengan pertukaran gear pantas dan tiga tetapan Pelancaran Kawalan untuk kegunakan litar tetapi diluluskan untuk tunggangan jalan biasa.

Sementara itu, Aprilia Tuono V4 Factory pula menggunakan enjin bersesaran 1,100 cc dengan 175 hp dan tork setinggi 121 Nm.

Malah turut dipadankan sistem penggantungan dan ‘fork’ jenama Ohlins untuk menjadi jentera paling praktikal dalam menawarkan prestasi serta teknologi terkini.

Wajahnya lebih garang dengan kehadiran ‘fairing’ baru yang berasal daripada model Aprilia RSV4. Penampilan itu turut berfungsi untuk memberi perlindungan dan aerodinamik yang lebih baik, selain tampak canggih selepas menerima sentuhan lampu teknologi LED.

Tempat duduknya juga lebih selesa yang direndahkan sehingga 15 milimeter bagi memudahkan penunggang mengendalikannya. Berkongsi ciri keselamatan, jentera berkenaan dipadankan generasi ketiga APRC dengan dilengkapi sistem ABS yang dibangunkan dengan kerjasama Bosch.

Aprilia RSV4 RF Edisi Terhad dijual harga asas tanpa insurans pada RM138,800 manakala Aprilia Tuono V4 1100 Factory ditawarkan RM118,800. Kedua-dua jentera itu ditawarkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:00 AM