V100 Mandello Serba Baharu.
V100 Mandello Serba Baharu.
Lizam Ridzuan


Sejarah motosikal ini agak panjang dan sudah menyambut ulang tahun ke-100 mereka pada 2021 adalah jenama yang terkenal dengan jentera reka bentuk uniknya menggunakan enjin V-twin 90 darjah.

Moto Guzzi ialah pembuat motosikal dari Itali kini membuka lembaran baharu untuk mencipta sejarah bagi 100 tahun berikutnya menerusi pengenalan model V100 Mandello yang dilancarkan pada tahun lalu.

Tidak terkecuali di Malaysia, model itu diperkenalkan untuk pasaran Asia Pasifik baru-baru ini dan negara ini menjadi tuan rumah untuk lokasi acara dan sesi pandu uji media serantau serta Vroom antara yang terawal berpeluang menunggang ujinya.

Mewujudkan segmen baharu, itulah tujuan Moto Guzzi V100 Mandello dihasilkan yang diposisikan di antara motosikal roadster dan jelajah (tourer) yang menawarkan kelebihan tersendiri.

Reka bentuk yang elegan gabungan moden dan DNA jenama itu menjadikan ia tampil elegan yang ditawarkan menerusi dua varian iaitu V100 Mandello serta V100 Mandello S.

Ia juga terdapat sentuhan inspirasi model terdahulu mereka iatu Le Mans 850 1976 dan Le Mans 850 III 1981.

Lampu hadapan dwigelung dan lampu nyalaan siang DRL adalah LED sepenuhnya dengan bentuk elemen helang adalah ciri signatur Moto Guzzi menyerlahkan perincian unik dan belakang lampu diinspirasikan 'afterburner' enjin kapal terbang.

Ia turut kekal dengan bentuk enjin V-Twin, pacuan shaft dan lengan hayun tunggal menjadikan ia lebih premium selain reka bentuk tangki bahan api, kerangka dan fairing menyerlahkan sifat aerodinamik.

Namun ciri paling inovosi dan pertama yang terdapat pada motosikal di dunia ialah sistem aerodinamik adpatif iaitu sayap pada sisi fairing hadapan yang boleh dibuka atau ditutup bergantung kepada tetapan kelajuan atau mod tunggangan.

Fungsi ini membantu bagi pengurangan kepada rintangan angin pada badan sebanyak 22 peratus malah ketika hujan ia juga dapat menyuraikan air daripada terlalu terkena kepada penunggang yang digabungkan cermin pelindung angin boleh laras secara elektronik.

Untuk keselesaan penunggang ia didatangkan dengan paparan meter TFT bersaiz 5 inci untuk maklumat kelajuan dan perjalanan yang mudah untuk dilihat dan dilaras menerusi dua butang pada kiri dan kanan pemegang motosikal.

Untuk mengecas gajet atau telefon terdapat soket USB di bawah pelana dan V100 ditawarkan dengan empat mod tunggangan iaitu Tour, Rain, Road dan Sport yang boleh dilaras dengan tiga ketetapan mapping, empat tahap kawalan cengkaman dan dua tahap brek enjin.

METER TFT.
METER TFT.

Untuk sesi tunggang uji ini, media Malaysia dalam satu sesi bersama dari Korea Selatan, Indonesia dan Vietnam memulakan aktiviti tunggangan dari MotoPlex Petaling Jaya ke Genting Highlands, Pahang.

Penulis berpeluang menunggang V100 Mandello S dan kedua-dua varian didatangkan dengan enjin 1,042 cc sejukan cecair V-Twin transverse DOHC adalah enjin serba baharu yang kini dalam barisan penawaran Moto Guzzi.

PENGENDALIAN sporty.
PENGENDALIAN sporty.

Ia menjana 115 kuasa kuda (hp) pada 8,700 rpm dan tork 105Nm pada 6,750 rpm dengan transmisi 6 kelajuan klac hidraulik yang dilengkapi dengan sistem quick shift elektronik membolehkan tukaran gear dilakukan dengan mudah dan pantas.

Ditambah dengan sistem bahan api suntikan elektronik, double throttle body 52 milimeter (mm) dan Ride-by-Wire menjadikan ia lebih responsif dengan aliran kuasa lebih baik untuk pengendalian.

Melalui kawasan bandar dan ke Lebuhraya Karak adalah laluan yang sangat sesuai bagi menguji motosikal ini dan sebaik mula mendaki ke Genting Highlands penulis dapat merasakan pengalaman menempuh laluan selekoh tajam dan berbukit untuk mencubanya pada prestasi maksimum.

Ditambah untuk Mandello S dilengkapi dengan sistem suspensi hadapan dan belakang semi-aktif Ohlins Smart EC 2.0 membuatkan jentera ini lancar 'meratah' laluan berliku dan seronok melayan selekoh.

SESUAI untuk perjalanan jarak jauh.
SESUAI untuk perjalanan jarak jauh.

Ada ketikanya pada satu kelajuan penulis perlu membrek dan dengan angkup Brembo serta brek cakera 320 mm hadapan dan belakang 280 mm dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) selekoh ia berfungsi baik bagi keselamatan penunggang dan motosikal.

Posisi menunggang sangat selesa dan juga lincah kerana saiznya yang ideal direka untuk kawalan jentera lebih baik bagi tujuan prestasi atau jarak jauh dengan berat motosikal sekitar 233 kilogram (kg).

Dimensi V100 Mandello dengan panjang 2,125mm, 835mm (lebar), jarak roda 1,475mm dan ketinggian pelana 815mm (opsyen rendah 800mm dan tinggi 835mm) bagi disesuaikan dengan pelbagai saiz penunggang.

Sebelum sesi tunggang uji ini diadakan penulis sempat menemu bual Pengurus Pemasaran Produk Moto Guzzi Itali, Arturo Sansom berkenaan enjin baharunya yang dibangunkan sendiri oleh syarikat itu.

Beliau berkata enjin itu lebih kompak dengan ciri sejukan cecair yang pertama kali ditawarkan mereka membolehkan motosikal lebih berprestasi selain klac basah plat-pelbagai hidraulik dengan sistem 'anti-juddering', lebih padat dan ringan berbanding plat klac kering yang diguna pakai sehingga kini.

Alternator juga pada kedudukan baru bukan lagi di hadapan malah di dalam silinder V selain intake ekzos juga pada kedudukan sisi berbanding pada sebelah hadapan injap sebelum ini.

Berbanding enjin lama, ternyata V100 Mandello ini lebih berprestasi dan pantas menghamburkan kuasa malah dalam tiga sesi tunggang uji media serantau itu ada yang mencatatkan kelajuan sehingga 240 kilometer/sejam (km/j).

Secara keseluruhan model dan jenama ini mempunyai peminatnya tersendiri malah selebriti antarabangsa seperti Ewan McGregor antara pengumpul motosikal Moto Guzzi ini dan menjadi duta kepada jenama itu.

Bentuknya yang unik, gaya prestasi dan jelajah membolehkan pemilik mendapat ciri keduanya bagi disesuaikan dengan keperluan tunggangan.

Meter dengan keterhubungan telefon pintar menerusi Moto Guzzi MIA yang boleh disambungkan dengan Bluetooth untuk kekal berhubung di atas motosikal antara yang terdapat pada motosikal ini.

Terdapat limpahan lagi ciri yang termaju pada motosikal ini seperti Sistem Pengesan Tekanan Tayar (TPMS), pemanas pemegang motosikal dan kawalan pelayaran.

Satu tangki bahan api penuh 17 liter mampu menjangkau sehingga 350 km sesuai buat perjalanan jarak jauh ataupun sederhana.

Penulis menggemari pilihan warna yang ditawarkan untuk Mandello S iaitu Verde 2121 dan Grigio Avanguardia tampil sepadan dengan warna suspensi hadapan emas Ohlins.

Untuk Mandello dengan pilihan warna Rosso Magma dan Bianco Polare serta terdapat satu edisi terhad V100 Mandello Aviazione Navale yang hanya dikeluarkan sebanyak 1,913 unit sahaja yang diinspirasikan daripada jet pejuang F-35B dan harga tidak diumumkan untuk model itu setakat ini.

Untuk pasaran Malaysia Moto Guzzi V100 Mandello dijual pada harga RM99,900 dan Mandello S pada RM117,900 (semua harga atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 6:23 AM