Perasmian Aprilia RS660 di Suria KLCC. FOTO FATHIL ASRI
Perasmian Aprilia RS660 di Suria KLCC. FOTO FATHIL ASRI
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Jentera supersport kelas pertengahan Aprilia RS660 dilancarkan ke dalam pasaran tempatan untuk segmen motosikal berprestasi tinggi di negara ini.

  Jentera ini tampil dengan rekaan yang inovatif terutama pada bahagian 'fairing' erodinamik serta lampu hadapan LED tiga berkembar dengan fungsi lampu nyalaan siang (DRL).

  Untuk pengendalian ia dipadankan dengan fork terbalik (upside-down) boleh laras 41 milimeter (mm) Kayaba dan angkup brek berkembar Brembo dengan cakera 320mm.

  Selain itu ia juga dilengkapi Kawalan Tunggangan Prestasi Aprilia (APRC) menawarkan ciri Kawalan Cengkaman Aprilia (ATC), Kawalan 'Wheelie' Aprilia (AWC), Kawalan Pelayaran Aprilia (ACC), Brek Enjin Aprilia (AEB), Quick Shift Aprilia (AQS) dan Pemetaan Enjin Aprilia (AEM) serta Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) selekoh.

  Aprilia RS660 dijana enjin 659cc dua silinder selari serba baharu yang diinspirasikan daripada enjin 1,100cc V4 dengan mencapai taraf piawaian homologasi Euro 5.

   jentera ini menjana 100 kuasa kuda (hp) pada 10,500 rpm dan tork 67Nm pada 8,500 rpm.

   Aprilia RS660 ditawarkan menerusi dua pilihan warna iaitu Merah Lava sebagai penghargaan kepada RS250 1994 versi Reggiani Replica dan Hitam Apex yang dijual pada harga RM59,900 (atas jalan tanpa insurans).

  Hadir ketika pelancaran ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, Pengurus Besar Didi Resources sebagai pengedar utama motosikal Aprilia di Malaysia, Juan Chow Wee dan Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA) Datuk Wee Hong.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 4:41 PM