BMW K 1600 B Baharu tawar jentera jelajah selesa.
BMW K 1600 B Baharu tawar jentera jelajah selesa.
Lizam Ridzuan


Tunggangan ciri 'Bagger' mewah menyerlahkan lagi model BMW K 1600 B Baharu yang diperkenalkan untuk pasaran tempatan.

Dengan posisi menunggang lebih santai, ia tampil bersama pelindung angin lebih rendah.

Ia diserlahkan lagi dengan lampu hadapan dan belakang LED yang bersepadu dengan kotak sisi.

Ia juga hadir dengan meter TFT bersaiz 10.25 inci serta keterhubungan navigasi peta menerusi aplikasi 'BMW Motorrad Connected'.

Untuk memastikan telefon pintar sentiasa berfungsi, jentera ini turut hadir dengan ruang pengecas (USB-C).

Selain itu, kelengkapan lain membabitkan kluster butang pilihan untuk ketetapan larasan pengoperasian dan sistem penghidup enjin tanpa kunci.

Dikuasakan dengan enjin 1,649cc, sejukan cecair dan minyak enam silinder selari, ia menjana 160 kuasa kuda (hp) pada 6,750rpm dan tork 180Nm pada 5,250rpm dengan enam kelajuan pacuan shaft.

CIRI ‘Bagger’ mewah BMW.
CIRI ‘Bagger’ mewah BMW.

Ia mampu mencapai kelajuan sehingga 200 kilometer/sejam (km/j).

Jentera ini juga mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 5.9 liter untuk setiap 100km dengan enjinnya mematuhi piawaian Euro-5.

Tiga mod tunggangan ditawarkan membabitkan 'Rain', 'Road' dan 'Dynamic'.

Ciri keselamatannya antaranya membabitkan kawalan brek enjin (MSR), Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC), Kawalan Permulaan Bukit (HSC) dan kawalan pelayaran.

Ia juga datang dengan sistem Bantuan Undur dan Kawalan Tekanan Tayar (RDC) sebagai ciri standard.

Bagi elemen lain, jentera seberat 344kg ini juga didatangkan dengan tangki bahan api 26.5 liter serta pelbagai peralatan opsyen bagi disesuaikan dengan keperluan penunggang.

Untuk pasaran Malaysia, BMW K 1600 B Baharu dijual pada harga RM173,500.

PERJALANAN jauh selesa dengan ‘Floorboards’.
PERJALANAN jauh selesa dengan ‘Floorboards’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 7:01 AM