HIDANGAN lengkap nasi beriani bersama acar buah, dalca, pencuk timun dan nanas yang menambat hati pengunjung.
HIDANGAN lengkap nasi beriani bersama acar buah, dalca, pencuk timun dan nanas yang menambat hati pengunjung.
ANOM menunjukkan hidangan nasi beriani gam yang sememangnya popular di BP Bariani Power.
ANOM menunjukkan hidangan nasi beriani gam yang sememangnya popular di BP Bariani Power.
RESTORAN BP Bariani Power saji nasi beriani yang enak dan menggamit pengunjung.
RESTORAN BP Bariani Power saji nasi beriani yang enak dan menggamit pengunjung.
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris


Apabila berkunjung ke Johor, nasi beriani pasti antara hidangan wajib malah ia seperti tidak lengkap jika tidak mencuba hidangan ikonik negeri berkenaan.

Penulis sendiri terliur pertama kali mencuba nasi beriani di restoran BP Bariani Power di Taman Soga, Batu Pahat, Johor.

Tekstur nasi yang lembut dan beraroma serta dihidangkan bersama lauk-pauk yang dimasak bersama rempah ratus membuatkan rasa nasi beriani ini berbeza berbanding restoran lain.

Pemiliknya, Siti Khairul Anom Atan, berkata BP Bariani Power mula dibuka pada tahun 1999 secara kecil-kecilan oleh arwah suaminya di kawasan perumahan lama mereka di Taman Soga.

Dek sambutan yang menggalakkan, dia yang lebih mesra dipanggil Anom, mendapat idea membuka restoran yang dikenali BP Bariani Power pada 2001.

“Keistimewaan beriani BP Bariani Power ialah cara memasaknya menggunakan resipi turun-temurun yang dipelajari arwah suami daripada ibu saudaranya selama 15 tahun.

“Dengan resipi yang dipelajari itu juga menjadikan nasi beriani gam sebagai kekuatan utama kami,” katanya.

Katanya, nasi beriani gam berbeza sedikit dengan nasi beriani biasa kerana dikukus dengan lauk sama ada ayam, daging atau kambing termasuk bahan lain iaitu gajus dan kismis. Malah sambal istimewa yang digaul bersama nasi juga membuatkan rasa nasi beriani gam ini berbeza dengan yang lain.

“Lauk seperti ayam, daging dan kambing juga dimasak sempurna menggunakan rempah ratus bagi memastikan ia lembut saat dinikmati,” katanya.

Mencungkil rahsia BP Beriani Power ini, kata Anom, tiada rahsia melainkan pemilihan beras berkualiti tinggi serta mengekalkan adunan rempah ratus untuk mendapatkan rasa asli nasi beriani.

“Tempoh masa yang lama diambil suami untuk mempelajari selok-belok dan rahsia memasak serta resipi turun-temurun dari sebelah suami juga adalah salah satu faktor beriani di sini enak dan sedap.

“Teknik memasak nasi beraini ini juga kena betul supaya ia tidak melekat sebaliknya menjadi sebutir-sebutir,” katanya.

Selain nasi beriani dan beriani gam, air bandung soda serta durian belanda turut digemari pelanggan yang berkunjung ke restoran BP Bariani Power ini.

“Alhamdulillah sehingga kini sambutan diterima amat menggalakkan dan kami memasak 500 kilogram beras sehari untuk hidangan pelanggan,” katanya.

Bagi mereka yang ingin berkunjung ke restoran ini datang terus ke restoran ini di di No.18, Jalan Tukas 2, Taman Soga, 83000, Batu Pahat, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 9:50 AM