Lucknow (India): Dua beradik di utara India memenggal kepala adik perempuan mereka dan kemudian mengarak kepala gadis malang itu sekeliling kampung kerana adik mereka menjalin hubungan dengan sepupu.

Menurut polis hari ini, puluhan penduduk melihat Phool Jehan, 17, diseret keluar dari rumah dan dibelasah dua abangnya sebelum mereka memenggal kepalanya Isnin lalu. Penduduk kampung itu hanya melihat dan tidak melaporkan kejadian kepada polis sebaliknya seorang pengawal keselamatan memberitahu polis.

Pegawai polis tempatan, Rajesh Singh, berkata pihaknya gagal mengesan dua beradik itu, Nanhe dan Gul Hasan, yang umur mereka tidak diketahui.

Menurut Rajesh, selepas memenggal kepala Phool, Nanhe dan Gul Hasan meninggalkan mayat adik mereka itu di jalanan dan mengarak kepala mangsa sekeliling kampung sambil melaungkan bantahan hubungan gadis itu.

Menurut polis, pihaknya sedang memburu dua beradik itu yang melarikan diri dari kampung dan sudah menahan sepupu mereka untuk soal siasat. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 7:01 PM