DUA wanita dibotakkan kepalanya selepas melawan daripada dirogol sekumpulan lelaki. - Agensi
DUA wanita dibotakkan kepalanya selepas melawan daripada dirogol sekumpulan lelaki. - Agensi
Reuters

SEORANG wanita dan anak perempuannya di negeri Bihar, India, dibelasah dan dibotakkan kepala oleh sekumpulan lelaki selepas dua wanita berkenaan melawan cubaan kumpulan terbabit untuk merogol mereka beramai-ramai.

Menurut polis semalam, tujuh lelaki, termasuk seorang kakitangan kerajaan menerjah masuk ke dalam rumah wanita berkenaan, Rabu lalu dan cuba memperkosa anak perempuannya.

Pegawai polis, Sanjay Kumar berkata, apabila wanita berkenaan dan ibunya melawan, kumpulan lelaki itu menjadi marah lalu memanggil tukang gunting yang membotakkan kepala mangsa.

Menurutnya, kumpulan lelaki itu kemudian membelasah dua wanita berkenaan menggunakan kayu dan mengarak mereka sekeliling kampung sebelum dibantah penduduk lain.

“Kami sudah menahan dua lelaki dan sedang memburu lima lagi,” katanya.

India mempunyai rekod keganasan seksual yang tinggi walaupun kerajaan melaksanakan undang-undang lebih berat berikutan kejadian seorang pelajar mati selepas dirogol beramai-ramai dalam bas di New Delhi pada 2012 yang membangkitkan kemarahan antarabangsa.

Menurut data agensi kerajaan, pada 2016, sebanyak 40,000 kes rogol direkodkan di seluruh India iaitu purata 100 kes sehari.

Kejadian di Bihar itu bukan pelik kerana awal minggu ini, seorang lelaki di Uttar Pradesh melanggar dua wanita hingga mati dengan keretanya kerana mereka membuat laporan terhadap cubaannya mencabul anak perempuan mangsa.

April lalu, empat lelaki menyimbah asid terhadap seorang wanita dengan asid selepas mangsa melawan ketika cuba dirogol beramai-ramai.

Pada 2014, pemimpin sebuah kampung di Bihar membotakkan kepala seorang anak yatim perempuan, melumurkan mukanya dengan arang dan mengarak mangsa sekeliling kampung sebagai hukuman berbual dengan teman lelakinya di tempat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 8:28 AM