RAJESH Kumar dengan Rinku Kumari, pada majlis perkahwinan mereka. FOTO Agensi
RAJESH Kumar dengan Rinku Kumari, pada majlis perkahwinan mereka. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Seorang pengantin lelaki di Bihar, India, baru-baru ini, membuat pendedahan 'berani mati' pada hari bahagianya apabila bercinta dengan adik bakal isterinya.

Rajesh Kumar, dari Chhapra bakal berkahwin dengan Rinku Kumari dari Saran pada 2 Mei lalu.

Perarakan perkahwinan mereka berjalan lancar mengikut adat dan tradisi sehingga pengantin lelaki menerima panggilan daripada adik kepada Rinku iaitu Putul.

Putul mengancam mahu membunuh diri dengan terjun dari bangunan, jika perkahwinan lelaki itu dengan kakaknya diteruskan.

Selepas kalungan perkahwinan sudah ditukar antara Rajesh dan Rinku, pengantin lelaki tiba-tiba menghentikan perkahwinan itu, sebelum dia mendedahkan dia menjalinkan hubungan cinta dengan adik pengantin perempuan, malah mereka berdua saling menyayangi.

Menurut Rajesh, dia mengenali Putul sebelum perkahwinannya ditetapkan dengan Rinku.

Katanya, Putul, yang menduduki peperiksaan perantaraan di sebuah kolej di Chhapra, sering bertemunya di bandar itu.

"Kami menjadi rapat dan suka antara satu sama lain.

"Malah, kami bersembang melalui panggilan telefon selama berjam-jam, sebelum kami akhirnya jatuh cinta antara satu sama lain," katanya.

Pendedahan itu mencetuskan pertelingkahan antara dua keluarga pengantin hingga polis terpaksa dipanggil untuk campur tangan.

Pegawai Balai Polis Manjhi berjaya mengawal dan menenangkan keadaan hingga keluarga itu bersetuju berbincang menyelesaikan masalah itu.

Selepas mendengar keseluruhan dan mengambil kira semua perspektif, mereka sekeluarga memutuskan untuk mengahwinkan Rajesh dengan Putul dan bukannya Rinku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 11:51 AM