Singapura: Tambatan ringgit untuk mengatasi kelemahan trend mata wang menggunakan rizab Bank Negara Malaysia (BNM) adalah satu langkah mahal bagi Malaysia.

Pakar ekonomi Standard & Poor’s Ratings Services bagi Asia Pasifik, Vincent Conti berkata, ekonomi global kini dalam persekitaran dolar yang kukuh dan keadaan ini akan bertahan beberapa ketika kerana Rizab Persekutuan AS dalam proses memulihkan dasar monetarinya.

“Ini bermakna mata wang pasaran baru muncul berkemungkinan menghadapi trend yang lemah dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

Bagi Malaysia, ini akan menjadi lebih buruk dengan harga komoditi yang rendah, memandangkan statusnya sebagai pengeksport bersih tenaga dan pembekal utama komoditi lain seperti minyak sawit.

“Bagaimanapun, kemerosotan ringgit akibat perkembangan ini didorong oleh faktor-faktor asas. Oleh itu, adalah sangat mahal bagi bank pusat menggunakan rizabnya untuk menangani trend ini dengan tambatan mata wang,” katanya.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz minggu lalu berkata, bank pusat tidak akan menambat atau memperkenalkan kawalan modal untuk membendung kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS.

Conti berkata, dengan menggunakan rizab untuk mengukuhkan mata wang secara dibuat-buat akan menjejaskan daya saing Malaysia berbanding pasaran baru muncul dan pengeksport komoditi lain.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 6:36 AM