MIGRAN tiba di pelabuhan Pulau Lampedusa sebelum dipindahkan ke Porto Empedocle di wilayah Sicily dengan kapal tentera Itali. FOTO AFP.
MIGRAN tiba di pelabuhan Pulau Lampedusa sebelum dipindahkan ke Porto Empedocle di wilayah Sicily dengan kapal tentera Itali. FOTO AFP.
Reuters

Milan: Pengawal Pantai Itali menemui bayi baru lahir yang sudah mati di atas bot membawa pendatang ke Pulau Lampedusa ketika operasi menyelamat, lapor agensi berita ANSA hari ini.

Bayi itu dilahirkan ketika perjalanan dan meninggal dunia tidak lama selepas itu, menurut ANSA yang melaporkan terdapat kira-kira 40 pendatang di atas bot berkenaan.

Awal minggu lalu, seorang bayi lelaki berusia lima bulan mati lemas selepas bot yang membawa pendatang dari Afrika Utara terbalik di perairan kepulauan sama.

Hampir 126,000 pendatang tiba di Itali tahun ini, kira-kira dua kali ganda jumlah direkod pada tahun lalu.

Lampedusa baru-baru ini dilapor semakin padat dengan kira-kira 7,000 pendaratan pada minggu ini sahaja, yang jumlah pendatang melebihi penduduk tetap pulau itu.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni pada Jumaat meminta Kesatuan Eropah sama-sama bertindak 'dengan misi tentera laut jika perlu' untuk menghalang pendatang daripada menyeberangi Mediterranean dari Afrika Utara.

Dalam mesej video yang disiarkan di media sosial, Meloni menjanjikan tindakan tegas sebagai tindak balas kepada lonjakan ketibaan pendatang minggu ini

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 3:51 PM