Reuters

London: Penyerang Manchester City, Sergio Aguero kesuntukan masa untuk cergas sepenuhnya bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang juara bertahan Chelsea, malam esok.

Penjaring gol terbanyak City dengan 26 gol Liga Perdana tahun lalu terlepas hampir keseluruhan aksi pramusim kerana pembabitannya dalam Copa America bersama Argentina.

Bagaimanapun, dia masuk sebagai pemain gantian babak kedua ketika menang bergaya 3-0 ke atas West Bromwich Albion pada perlawanan pembukaan Liga Perdana, awal pagi Selasa lalu.

Aguero tidak pasti sama ada dia perlu berada dalam kalangan pemain gantian sekali lagi bagi pertemuan dengan Chelsea yang seri 2-2 di laman sendiri dengan Swansea City, Sabtu lalu.

“Sama ada saya bermula atau tidak masih belum pasti,” kata Aguero.

“Saya tiba lewat bagi aksi pramusim lewat selepas beraksi pada Copa America bersama Argentina bermakna saya perlukan lebih masa.

“Dengan tempoh sepanjang musim difikirkan, apa yang penting adalah berada pada prestasi terbaik dan tidak mengambil risiko.”

Aguero menjangkakan lebih banyak pasukan bersaing merebut kejuaraan liga tahun ini ketika City membida kejuaraan ketiga dalam tempoh lima tahun.

“Pasti terlalu naif jika memikirkan Chelsea satu-satunya pasukan bersaing merebut tangga teratas, ada banyak pasukan lagi yang akan mencabar dengan cara masing-masing,” ujar Aguero.

“Meraih sebanyak mungkin mata daripada pasukan yang mungkin menjadi pencabar kejuaraan amat bagus tapi kami perlu menang ke atas setiap pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:11 AM