AGUERO (tiga dari kiri)  yakin kemampuan rakan sepasukan.
AGUERO (tiga dari kiri) yakin kemampuan rakan sepasukan.

Turin: Manchester City kini cukup berpengalaman menentang pasukan elit Eropah sekali gus mencabar kejuaraan Liga Juara-Juara, jelas penyerang Sergio Aguero.

City, yang berdepan Juventus di Turin awal pagi esok, mengungguli Kumpulan D dengan sembilan mata dan sudah memastikan tempat ke peringkat kalah mati sekalipun berbaki dua perlawanan.

Sejak jutawan Arab Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan membeli kelab itu pada 2008, City layak ke Liga Juara-Juara lima kali, namun gagal layak ke peringkat kalah mati dua kali sebelum tersingkir pada pusingan kedua di tangan Barcelona dua kali.

Kemenangan ke atas pasukan tangga kedua Juventus akan memastikan mereka muncul juara kumpulan buat kali pertama dan mungkin membantu mereka mengelakkan pertembungan dengan kelab gergasi Eropah pada pusingan berikutnya.

“Kali pertama amat sukar, perasaan gementar, jangkaan tinggi, tapi kini kebanyakan kami sudah banyak pengalaman,” kata Aguero.

“Kami memiliki pemain yang amat bagus yang mampu meletakkan kami di landasan tepat.

“Dalam beberapa Liga Juara-Juara sebelum ini kami mungkin tidak cukup pengalaman, mungkin sesetengah pemain tidak tahu bagaimana rasanya beraksi pada Liga Juara-Juara.

“Bagi saingan sebelum ini kami amat terdesak untuk layak ke peringkat berikutnya tapi kini kami lebih berpengalaman dan matang,” ujar pemain berusia 27 tahun itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 10:48 AM