Oleh Nor Faizah Mohamed

Lelaki dan kasut bola memang tidak dapat dipisahkan. Dalam seumur hidup lelaki, bukanlah perkara mustahil mempunyai sekurang-kurangnya sepasang kasut bola (atau dikenali kasut but) dalam koleksi walaupun ada antaranya jarang digunakan.

Seiring perubahan zaman, pelbagai jenis kasut bola muncul di pasaran. Permainan bola sepak itu sendiri mengalami variasi perubahan dan mencatat sejarahnya tersendiri.

Kalau dulu aspek seperti posisi, ciri dan sifat yang dimiliki seseorang pemain itu dianggap perkara utama, kini ia tidak lagi relevan. Dan Adidas tidak ketinggalan menyertai revolusi itu dengan pengenalan kepada kasut but generasi baru dikenali Ace dan X.

Tiada lagi generasi kasut but Predator, f50, 11Pro dan Nitrocharge lalu digantikan dengan Ace serta X yang dipertingkatkan teknologi juga ciri penggunaannya.

Memetik kata-kata pengurus Bayern Munich, Pep Guardiola, corak permainan masa kini sudah berubah dan sesebuah pasukan bola sepak moden cuma memerlukan dua jenis pemain di atas padang.

“Sama ada ‘chaos’ atau ‘control’, kami perlukan kedua-duanya. Mereka adalah sebahagian daripada permainan, juga sebahagian daripada padang.

“Kami perlukan pemain yang bijak menilai dan faham dengan apa yang perlu dilaksanakannya. Selain itu, pemain harus diberi kebebasan untuk menonjolkan bakatnya.

“Apabila dua idea atau jenis pemain ini dicampur aduk dalam satu pasukan, ia berupaya memberi kelebihan yang besar di padang,” ujarnya.

Justeru, pengenalan Adidas Ace dan X ini disifatkan sebagai pembantu utama kepada pemain mengadaptasi skil serta rentak permainan mereka.

Adidas X15.1 lebih memberi tumpuan kepada ‘chaos’ atau si pencetus serangan, juga perancang permainan yang jelas dipertontonkan pada pilihan mwarnanya. Tiada lagi tiga jalur tradisional yang menjadi tanda pengenalan Adidas selama ini tetapi diubah dengan palitan minimum di tumitnya.

Teknologi kolar Techfit dibangunkan bagi memberi sokongan lebih fleksibel pada bahagian pergelangan kaki. Padanan mampat pula membantu membuatkan kaki lebih selesa dan memudahkan pergerakan.

Sementara itu, Ace15 lebih konvensional dan bercirikan estetika Adidas klasik. Tiada kolar Techfit baginya, tetapi pad lembut ditambah di sekitar pergelangan kaki.

Ace15 nyata tidak berkompromi dari segi teknologi cengkamannya. Stud kon membentuk keseluruhan tapak plat yang mana bahagian lebih besar mengelilingi perimeter kasut manakala yang lebih kecil diletakkan di dua barisan dalam.

Dicipta untuk padang jenis FG dan AG, lapik luarannya memberikan lebih kestabilan serta memudahkan pergerakan 360 darjah.

Menerusi kempen di media sosial dan laman sesawang Adidas, gerakan #BETHEDIFFERENCE dengan Adidas Ace serta X ini berdaya saing menerjah pasaran global.

Ikuti gerakan seterusnya di www.adidas.com.my, www.facebook.com/adidasMY, http://twitter.com/adidasMY dan www.youtube.com/adidas menerusi hashtag #ACE15, #X15, #BETHEDIFFERENCE serta #adidasmy.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 12:17 PM