KOLABORASI terkini Adidas Originals bersama Pharrell Williams cetuskan himpunan menarik bagi musim ini.
KOLABORASI terkini Adidas Originals bersama Pharrell Williams cetuskan himpunan menarik bagi musim ini.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Seni secara amnya dikaitkan dengan ekspresi diri. Tidak kiralah seni itu dizahirkan pada lukisan mahupun penampilan penuh gaya, ia menggambarkan sisi personaliti yang tersendiri.

Impak yang sama juga tercetus pada padanan sepasang kasut. Bagi sesetengah yang skeptikal, apa ada pada sepasang sepatu itu. Hanya dijadikan alas dan membantu melindungi kaki.

Namun bagi Adidas Originals, salah satu aspek terbaik budaya seni sepasang kasut ini hadir pada olahan pada koleksi sneaker.

Menerusi kolaborasi terkini bersama ikon gaya, Pharrell Williams bagi himpunan kasut Superstar Supercolor Pack ini, Adidas Originals mengetengahkan siluet yang malar segar.

Pelantun lagu ‘Happy’ itu menggelarkan koleksi terbabit sebagai ‘meraikan kesaksamaan menerusi kepelbagaian’ yang nyata dipaparkan penuh bertenaga dengan pilihan 50 warna menarik.

Spektrum pelangi sengaja ditampilkan secara polos dan Williams mahukan peminatnya juga penggemar sneaker Adidas Originals bereksperimen dengan kebebasan gaya yang ditawarkannya.

“Koleksi Superstar adalah kasut ikonik yang mampu bertahan sehingga ke hari ini. Justeru saya rasa perlu lakukan sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini sebagai kesinambungan kepada gahnya koleksi sepatu Superstar.

“Saya memilih 50 warna untuk himpunan musim ini - ton demi ton. Apabila 50 warna ini berselerak di seluruh dunia, ia diharapkan dapat menghubungkan sesama manusia tanpa mengenal sempadan. Dan itu amat mengujakan saya.

“Supercolor boleh dianggap sebagai tanda keraian kesaksamaan menerusi kepelbagaian manusia. Dengan pilihan 50 warna, pasti ada yang sesuai untuk setiap individu.

“Ia lebih variasi berbanding pek sneaker sebelum ini dan lebih bersifat peribadi daripada pek terdahulu.

“Setiap warna dianggap sama. Tidak kira apa warna yang jadi pilihan, ia adalah sebahagian daripada Supercolor. Pilihlah warna kegemaran dan bergembira dengannya,” jelas Williams.

Dihasilkan daripada material kulit premium, himpunan Superstar Supercolor ini mula menjengah pasaran tempatan sejak 20 Mac lalu, bagaimana pun dengan pilihan 11 warna.

Untuk warna selebihnya boleh didapati di laman sesawang www.shop.adidas.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:02 AM