SEBAHAGIAN  pemain NFDP   bersama pemain Pulau Pinang   Faiz Subri  (baju putih)   ketika majlis penyerahan kasut bola adidas Nemesis kelmarin.
SEBAHAGIAN pemain NFDP bersama pemain Pulau Pinang Faiz Subri (baju putih) ketika majlis penyerahan kasut bola adidas Nemesis kelmarin.
myMetro

Kuala Lumpur: Taring skuad bawah 15 tahun negara (B-15) yang diwakili pemain Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan terus diasah apabila dijadualkan ke Clairefontaine, Perancis hari ini.

Selepas beraksi di saingan Torneo Delle Nazioni 2017 di Itali penghujung April lalu, skuad kendalian Lim Teong Kim bakal menentang beberapa kelab ternama Eropah sepanjang siri jelajah kali ini.

Antara aksi yang bakal menguji kekuatan pasukan negara adalah kelab Perancis Paris Saint-Germain (PSG) serta kelab Belanda seperti Feyenoord dan SBV Vitesse.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NFDP Safirul Azli Abu Bakar, aksi berkenaan dapat memberikan gambaran berbeza terhadap permainan bola sepak yang lebih moden dan bakal digunakan sebaiknya bagi meningkatkan tahap persembahan pasukan.

“Setiap kali ke luar negara kami akan memberikan tumpuan untuk memperbaiki teknik dan menimba pengalaman.

“Bermain menentang pasukan handalan yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal akan digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan tahap ketahanan fizikal pemain.

“Peluang ini juga dapat membuka mata pemain untuk melihat cara permainan di Eropah yang lebih agresif serta memahami konsep bola sepak mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis berbuka puasa bersama adidas dan NFDP, kelmarin.

Pada majlis itu, pengeluar barangan sukan terkenal dunia yang juga penaja rasmi NFDP menyerahkan kasut baru ‘Dust Storm Pack’ kepada 25 pemain skuad elit program berkenaan.

“Saya rasa majlis ini sangat bermanfaat dan kami berterima kasih kepada adidas atas tajaan kasut ini sebelum ke Perancis.

“Ini rangsangan besar buat pemain yang pastinya teruja untuk menerima kasut terbaru itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:26 AM