Siti Khairunisah berdoa supaya ribut reda. VIDEO oleh Aizuddin Saad
Siti Khairunisah berdoa supaya ribut reda. VIDEO oleh Aizuddin Saad

Kuala Lumpur: “Saya melaungkan azan dan berdoa supaya ribut berhenti. Alhamdulillah, angin dan hujan reda sedikit demi sedikit dan berhenti pada kira-kira 6.30 petang,” kata Siti Khairunisah Abd Latif,25, pekerja kedai makan yang menyaksikan kejadian ribut menerbangkan sekurang-kurangnya enam khemah serta kerusi dan meja yang digunakan ketika majlis Aidilfitri di depan bangunan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), di Jalan Duta di sini, petang tadi.

Menurutnya, hujan bermula kira-kira 4 petang dan semakin lebat sebelum ribut berlaku kira-kira 5 petang.

“Selain saya, ada lagi yang melaungkan azan dan berdoa supaya ribut dan hujan berhenti. Mujurlah ketika kejadian tiada sesiapa di bawah khemah,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Siti Khairunisah berkata, kejadian ribut sedemikian pertama kali dilihatnya dan ia menakutkan.

Katanya, dia berbuat yang sepatutnya, iaitu melaungkan azan dan berdoa supaya tiada kejadian buruk berlaku akibat ribut itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 10:03 PM