NAUFAL (kiri) sedia beraksi di Kuching.
NAUFAL (kiri) sedia beraksi di Kuching.

Batu Pahat: Pasukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat mencatat keputusan membanggakan pada Kejohanan Port Dickson International Duathlon 2015, baru-baru ini.

Muhammad Naufal Muhammad Yazid, 14, menduduki tempat keempat acara relay manakala jurulatih Nor Azlan Kimpol yang juga guru MRSM Batu Pahat berada dalam kedudukan ke-27 keseluruhan acara sprint.

Lebih 1,500 peserta dari dalam dan luar negara menyertai kejohanan itu.

Pencapaian Naufal itu amat membanggakan MRSM Batu Pahat jika dibanding usia mudanya kerana berjaya menyaingi peserta lebih berpengalaman.

Latihan konsisten hasil bimbingan Nor Azlan memberi kelebihan stamina serta motivasi untuknya mencatat keputusan terbaik.

Kejohanan anjuran Triathlon Malaysia dengan kerjasama Oakley, Jabatan Pelancongan Negeri Sembilan dan Tentera Darat Diraja Malaysia menawarkan hadiah lebih RM15,000 yang mempertandingkan acara full duathlon, sprint duathlon dan relay duathlon (10km larian, 60km berbasikal, 8km larian).

Penyertaan pasukan MRSM Batu Pahat itu sebagai persediaan menghadapi kejohanan Kuching International Marathon 2015 pertengahan bulan ini yang disertai jurulatih dan tiga pelajar.

Pihak pengurusan MRSM Batu Pahat juga banyak memberi sokongan dan membantu dalam kos perbelanjaan menyertai kejohanan.

Pengetuanya Dr Hamzan Omar sentiasa memberikan dorongan kepada pelajarnya untuk cemerlang dalam bidang sukan selain gemilang dalam akademik yang menjadi imej MRSM selama ini.

Kini dengan penyertaan sukan duathlon yang belum pernah disertai mana-mana pelajar sekolah seluruh negara menjadikan MRSM Batu Pahat satu kebanggaan buat warga MRSM seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 8:17 AM