BALE tambah duka Spurs selepas Rodriguez (kiri) ledak gol pembukaan perlawanan.
BALE tambah duka Spurs selepas Rodriguez (kiri) ledak gol pembukaan perlawanan.
AFP

Munich: Gareth Bale menjaringkan gol ketika bertemu pasukan lamanya, Tottenham Hotspur pada perlawanan yang dimenangi 2-0 oleh Real Madrid, sekali gus menempah tiket ke final Piala Audi bertemu Bayern Munich.

Pemain antarabangsa Wales itu diturunkan ketika menentang Spurs dan ia kali pertama sejak berpindah ke Madrid dengan yuran perpindahan yang mencatat rekod dunia, £85.3 juta (RM517.3 juta) pada September 2013.

Pemain berusia 26 tahun itu menghasilkan gol pada minit ke-79 selepas James Rodriguez menanduk masuk gol pendahuluan pada minit ke-36 di Allianz Arena.

Kejohanan persahabatan Piala Audi dimenangi Bayern Munich tahun lalu dan kali ini, kelab gergasi Jerman itu mengatasi AC Milan 3-0 dan akan bertemu Real di final.

Ia pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan sejak April 2014 di mana ia dimenangi Real dengan keputusan 4-0 ketika separuh akhir kedua Liga Juara-Juara.

Kemenangan itu kembali melonjakkan semangat juang anak buah Pep Guardiola di Bayern kerana tiga hari lalu, mereka tewas menerusi penentuan penalti pada aksi Piala Super Jerman di tangan Wolfsburg.

Juan Bernat memulakan jaringan pada minit ke-24, tetapi pemain yang baru diikat, Douglas Costa lebih mencuri tumpuan hinggalah dia digantikan selepas rehat.

Pemain tengah Brazil itu mengharungi kempen pra musim dengan baik sejak berpindah dari Shakhtar Donetsk bulan lalu dan digandingkan bersama Mario Gotze serta Arturo Vidal.

Vidal hampir menambah kelebihan, tetapi bola rembatannya singgah di palang pada minit ke-36 dan tujuh minit kemudian, cubaannya sedikit tersasar.

Walaupun mendominasi permainan, Bayern perlu menunggu hingga minit ke-74 untuk menambah gol kedua menerusi Gotze sebelum Robert Lewandowski melengkapkan kemenangan menerusi gol yang terhasil lima minit sebelum tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 8:50 AM