Dortmund, Jerman: Penjaring gol Alvaro Morata menegaskan Juventus tidak gentar dengan mana-mana lawan pada undian suku akhir Liga Juara-Juara selepas kemenangan 3-0 ke atas Borussia Dortmund, awal pagi semalam.

Carlos Tevez menyumbang dua gol ketika Juventus melengkapkan kemenangan agregat 5-1 pada pusingan kedua apabila dia dan Morata, masing-masing menjaringkan satu gol ketika menang 2-1 pada perlawanan pertama, sekali lagi menjadi pemusnah di Dortmund.

Seperti dilakukannyd di Turin, Tevez meletakkan pasukannya di depan dengan rembatan menakjubkan yang mengejutkan benteng pertahanan Dortmund.

Selepas melorongkan kepada Morata yang menampan masuk pada minit ke-70, Tevez menambah gol keduanya dan gol ketiga Juve sembilan minit kemudian apabila dia merembat masuk hantaran Arturo Vidal.

Keputusan itu bermakna pendahulu liga Itali itu menyertai Atletico Madrid, Barcelona, Bayern Munich, AS Monaco, Paris Saint-Germain, FC Porto dan Real Madrid pada undian suku akhir malam ini.

“Tiada pasukan mudah. Tapi jika kami bermain seperti malam ini tidak perlu takut dengan mana-mana pasukan,” ujar Morata.

“Ia persembahan mengagumkan. Kami bertahan tepat pada masanya dan meledak apabila kami berpeluang ketika menyerang.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:16 AM