Datuk Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Malaysia berpendirian teguh dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan antarabangsa di rantau Indo-Pasifik.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata ini termasuk isu berkaitan dengan perlucutan senjata nuklear, ketakcambahan nuklear dan penggunaan teknologi nuklear secara aman.

Katanya, pendirian itu turut dibincang dan dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu.

"Saya berkongsi keprihatinan YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) bahawa penubuhan AUKUS (kerjasama tiga hala antara Australia - United Kingdom - Amerika Syarikat) akan menyebabkan berlakunya peningkatan persaingan senjata di rantau ini.

"Ia juga berpotensi mencetuskan ketegangan di antara kuasa-kuasa besar dunia dan memburukkan lagi tindakan agresif antara negara berkenaan di rantau ini, khususnya di Laut China Selatan.

"Dalam hal ini, saya menyeru semua pihak yang berkenaan di rantau ini untuk mengukuhkan kerjasama yang lebih aktif dalam mempromosikan dan mempertahankan rantau ini sebagai rantau yang aman, stabil serta berkembang dan makmur, sebagaimana yang digariskan di bawah ASEAN Outlook on Indo-Pacific," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya memaklumkan Ismail Sabri menyuarakan kegusaran terhadap penubuhan AUKUS dan menegaskan pendirian Malaysia bahawa kerjasama itu akan memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

Menurut kenyataan itu, AUKUS akan memprovokasi kuasa- kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan kembali kenyataan Ismail Sabri yang menggesa semua pihak untuk menghormati dan mematuhi pendirian dan pendekatan Malaysia yang sedia ada di bawah Konvensyen PBB 1982 tentang Undang-undang Perjanjian Laut (UNCLOS), Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN).

"Baru-baru ini saya menerima panggilan telefon daripada rakan sejawat dari Australia, Senator Marise Payne dan beliau memberi penerangan mengenai AUKUS dan saya bersetuju dengan cadangan beliau mengenai penghantaran pegawai-pegawai dari Australia ke Malaysia bagi memberi penjelasan dan pemahaman lebih lanjut mengenai perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 2:41 PM