Hazira Ahmad Zaidi


Jeli: Cubaan dua lelaki yang mengubah suai bahagian muatan belakang lori dengan menutup menggunakan papan lapis bagi menyembunyikan 900 kilogram (kg) daun ketum gagal selepas ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng di Batu Melintang, dekat sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian 1.45 pagi itu, dua suspek berusia 20 dan 30 ditahan ketika melalui SJR dari arah Gerik ke Jeli selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan di bahagian muatan belakang lori.

Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, Asisten Superintendan Nik Ahmad Kamil Che Ahmad berkata, pemeriksaan pada badan kedua-dua suspek tidak menemui barang salah, malah lori berkenaan mempunyai surat kebenaran merentas negeri bagi perkhidmatan penghantaran barang ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

"Pemeriksaan lanjut pada ruang belakang kenderaan berkenaan didapati tidak mempunyai sebarang muatan, namun di sebalik dinding papan lapis lori itu agak mencurigakan seperti sudah diubah suai.

"Hasil pemeriksaan mendapati bahagian belakang kenderaan lori itu diubah suai disyaki untuk menyembunyikan barangan terlarang.

"Kami kemudiannya membuka satu daripada papan lapis berkenaan, sebelum mendapati ruang berkenaan dipenuhi dengan balutan plastik cerah yang setiap satu diikat dengan gegelang getah untuk membalut daun hijau yang disyaki daun ketum sebanyak 900 kg bernilai RM9,000," katanya dalam sidang media di IPD Jeli, di sini, hari ini.

Nik Ahmad Kamil berkata, modus operandi yang digunakan itu adalah kali pertama di negeri ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Bekalan daun ketum itu diambil daripada Sik, Kedah untuk pasaran di Kelantan serta Thailand dan dipercayai mereka diupah sebanyak RM500 untuk setiap kali penghantaran.

"Lori yang digunakan untuk menyeludup daun ketum itu turut dirampas bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kedua suspek direman selama empat hari bermula 16 Mac lalu," katanya.

ASISTEN Superintendan (ASP) Nik Ahmad Kamil Che Ahmad (tengah) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam Op Benteng di Batu Melintang pada Selasa lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ASISTEN Superintendan (ASP) Nik Ahmad Kamil Che Ahmad (tengah) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam Op Benteng di Batu Melintang pada Selasa lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Beliau berkata, pada Januari lalu, kedua-dua suspek pernah ditangkap di Gerik, Perak dan ketum seberat 1,350 kg dirampas.

"Hasil siasatan mendapati suspek pertama berusia 30 tahun mempunyai 10 rekod dadah, manakala suspek kedua berusia 20 tahun pula mempunyai satu rekod dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 1:40 PM