CORRINA tetap setia bersama Schumacher.
CORRINA tetap setia bersama Schumacher.

Biarpun pelbagai teori dan jangkaan dibuat terhadap masa depan suaminya, Michael Schumacher, isteri bekas juara dunia Formula Satu (F1) itu, Corrina tetap tabah menghadapi sebarang kemungkinan. Dia kini memulakan rutin baru selepas Schumacher yang mengalami kemalangan ketika meluncur salji Disember lalu, dipindahkan daripada pusat pemulihan kepada sebuah klinik dibina berdekatan rumahnya.

Biarpun kos penjagaan keseluruhan mencecah lebih £100,000 (RM510,000) seminggu namun masih ramai rakannya bimbang terhadap masa depan pemandu legenda F1 itu.

Namun, Corrina tetap setia berada di sisi menemani suaminya bersama anak lelaki, Mick, 15 dan anak perempuan, Gina-Maria, 17.

Turut bersama mereka adalah beberapa tangkal dikatakan mampu memberikan nasib baik yang pernah digunakan bekas bintang F1 terbabit ketika bertarung di litar lumba.

Malah, terdapat tangkal diperbuat daripada kuartz dikatakan mampu mempertahankan pemiliknya daripada 'terkena sihir, nasib malang dan sebarang penyakit'.

Corinna pula memakai batu permata dengan rantai emas di lehernya. Dia memberitahu rakan-rakannya tangkal itu memberikan harapan kepadanya satu hari nanti suaminya akan mampu 'berjalan, bercakap dan merasai semula'.

Ia disemai dalam jiwa­nya sejak Disember tahun lalu selepas juara dunia tujuh kali F1 itu mengalami kecederaan selepas kepalanya terhentak pada batu pada kelajuan tinggi sewaktu berski di Meribel, Perancis.

Lima minggu lalu, harapan untuk pemandu berusia 45 tahun itu kembali ceria selepas dia dipindahkan daripada pusat pemulihan di Lausanne ke sebuah klinik biasa dibina khas di kawasan rumahnya berharga £35 juta (RM175 juta) di Gland yang terletak persisiran Tasik Geneva di Switzerland.

Kerja pembinaan klinik terbabit dibuat sepanjang musim panas yang direka khas untuk berada bersebelahan rumah agam mewah itu yang mempunyai 40 bilik, beberapa pawagam persendirian dan sebuah tempat untuk helikopter mendarat.

Sekalipun klinik itu kelihatan seperti sebuah bangunan kecil yang sekadar menjadi bangunan sambungan kepada rumah Schumacher, tetapi dilengkapi kelengkapan canggih yang dikawal selia sepanjang masa oleh sepasukan 15 anggota perubatan dilatih khas Klinik Lausanne bagi menjaga pemandu dianggap pelumba terhebat F1 sepanjang zaman.

Semua perbelanjaan menguruskan pemandu terbabit diambil kira dengan segala kelengkapan dan kakitangan termasuklah fisioterapi mengurut anggota badannya, doktor pakar, pakar pemakanan, jururawat dan pakar saraf dianggarkan kos mencecah £100,000 (RM510,000) seminggu.

Kawalan keselamatan juga begitu ketat bagi memastikan tiada sebarang foto pemandu itu dan kakitangan perubatan klinik terbabit mesti me­nyerahkan telefon apabila mereka melapor diri untuk tugasan. Beberapa khemah turut dipasang untuk menghalang lensa panjang jurugambar 'paparazzi' merakam foto Schumacher ketika dia dibawa keluar berjalan-jalan dari semasa ke semasa.

Selama beberapa jam setiap hari, Corinna duduk berhampiran mesin berselirat dan tiub perubatan sambil bercakap lembut ke telinga suaminya.

Sejak dibangunkan daripada koma bulan lalu, dia dikatakan berada dalam apa disifatkan sebagai 'kesedaran minimum' hanya dapat menggerakkan matanya terhadap orang lain atau objek dan dapat menjawab soalan mudah dengan menggerakkan kening dan mengangguk kepalanya sedikit. Pengurus Schumacher, Sabine Kehm yang baru-baru ini mengumumkan Schumacher tidak lagi berada dalam keadaan koma, berada dalam proses untuk sembuh jangka panjang, mendakwa dia berkomunikasi bersama isteri dan dua anaknya itu.

Biarpun kenyataan dibuat oleh Dr Gary Hartstein, bekas delegasi untuk Kejuaraan Formula Satu Dunia yang mengenali pemandu itu sejak mula berlumba, masih belum dapat memberi sebarang kepastian.

Pada masa sama, Corinna dan anak-anaknya ha­nya mampu berserah kepada takdir Tuhan sambil membaca dan membaca semula mesej kata-kata semangat dihantar oleh rakan-rakan Schumacher kepadanya.

Lewis Hamilton menulis kepadanya: "Michael, Anda sentiasa berada dalam doa saya. Doa dan harapan untuk membolehkan anda menghadapi saat sukar ini."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:01 AM