Kuantan: Polis Pahang akan mendapatkan perintah mahkamah bagi menggeledah premis yang didapati menyimpan mesin atau peralatan yang digunakan dalam perjudian bagi membanteras kegiatan itu sepenuhnya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata, ia adalah satu dari langkah yang diambil dalam fasa kedua Ops Dadu selain pemantauan berterusan ke atas premis yang disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan.

“Fasa kedua yang bermula semalam membabitkan semua daerah. Semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) membuat intipan bagi mengenal pasti premis terbabit dan seterusnya mendapatkan waran geledah untuk membuat pengeledahan dan rampasan.

“Semua mesin atau set komputer yang dirampas akan diserahkan kepada pakar judi Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) untuk dianalisis bagi mengenal pasti sekiranya peralatan itu boleh dikaitkan dalam aktiviti itu atau sebaliknya.

“Sekiranya semua perkakasan itu didapati ada unsur yang boleh dikaitkan dengan kegiatan judi haram ini, kertas siasatan akan dibuka selain mendapatkan perintah mahkamah bagi proses pelupusan,” katanya.

Beliau berkata, premis berkenaan juga sudah dikenal pasti namun lokasi dan jumlah premis berkenaan tidak boleh didedahkan ketika ini kerana dikhuatiri menjejaskan siasatan polis.

Sharifuddin berkata, polis memandang serius kegiatan ini dan akan mengambil tindakan tegas bagi menangani kegiatan perjudian itu seiring dengan arahan dikeluarkan pucuk pimpinan bagi memeranginya habis-habisan.

“Apa yang pasti kegiatan ini mula terkawal dan kebanyakan premis yang diserbu sebelum ini tidak lagi meneruskan operasi mereka, walaupun premis itu tidak lagi menjalankan aktiviti mereka, pemantauan terhadap premis berkenaan akan diteruskan,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 9:35 PM