MOHD Adnan menunjukkan set komputer yang dirampas dari gudang yang dijadikan tempat menyimpan mesin judi.
MOHD Adnan menunjukkan set komputer yang dirampas dari gudang yang dijadikan tempat menyimpan mesin judi.

Petaling Jaya: Sindiket judi Internet di Lembah Klang lumpuh apabila polis menemui gudang haram yang digunakan bagi menyembunyikan lima ribu set komputer siap diubah suai untuk kegiatan haram itu.

Gudang milik sindiket terletak di Taman Perindustrian, Ara Damansara di sini, diserbu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira jam 2 petang semalam.

Difahamkan gudang itu adalah pembekal utama peralatan dan komputer perjudian kepada pemilik premis judi setiap kali rampasan dilakukan polis.

Semua set komputer bernilai kira-kira RM10 juta itu didapati sudah diubah suai dan dimuat turun pelbagai bentuk perjudian oleh pakar khas dibayar oleh sindiket.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya mendapati gudang itu berfungsi sebagai pembekal mesin judi kepada premis judi yang ada di Lembah Klang.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati gudang itu turut berperanan memprogram dan memuat naik perisian permainan perjudian ke dalam komputer sebelum dihantar ke premis judi.

“Kami (polis) yakin kejayaan ini adalah rampasan terbesar komputer judi setakat ini. Kami akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti lokasi gudang lain di daerah lain di negeri Selangor,” katanya di lokasi serbuan.

Menurutnya, enam lelaki berusia 20 hingga 60 tahun turut ditahan semasa serbuan dilakukan.

“Semasa serbuan dilakukan, sebuah lori didapati sedang memunggah masuk set komputer ke dalam gudang itu.

“Mereka melakukan kegiatan melalui pintu belakang gudang untuk mengaburi orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan tidak menolak kemungkinan lebih banyak serbuan premis judi akan dilakukan.

Difahamkan penjaga premis adalah pakar memuat naik perisian perjudian ke dalam komputer.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:10 AM