Puteri Sarah Liyana
Puteri Sarah Liyana
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Selepas enam tahun menyepi dari karier lakonan, ternyata sekarang masa yang sesuai untuk Puteri Sarah Liyana, 37, merancakkan semula aktiviti dengan tawaran berlakon yang tidak putus diterima.

Ibu dua anak ini berkata, apabila dia mendapat tawaran berlakon teater Maduku Terpaling Kalut untuk watak utama sebagai Bibi, dia sangat teruja kerana beraksi di pentas teater adalah salah satu impiannya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat rezeki dalam lakonan tak putus-putus sejak dari tahun lepas lagi. Bagi saya, inilah rezeki anak-anak dan semua peluang yang datang itu saya terima dengan hati terbuka.

"Ditambah dapat pula tawaran projek berlakon teater Maduku Terpaling Kalut yang membuatkan saya tidak mahu menolaknya. Ia satu jalan kisah yang menarik dan saya juga berganding dengan rakan pelakon lain seperti Azrel Ismail, Anna Jobling dan ramai lagi.

"Tak dinafikan, kedua-duanya (Azrel dan Anna) senang untuk bekerjasama terutama Azrel yang baharu selesai membintangi satu drama dengan saya sebagai suami isteri. Jadi, untuk kami terus membentuk keserasian dalam lakonan itu agak mudah," katanya.

Ditanya pandangannya mengenai pentas teater yang agak mencabar selain membintangi drama, Puteri Sarah berkata, atas sebab itu dia tekad ingin mencuba sekali gus menimba pelbagai pengalaman baharu yang menarik.

PUTERI Sarah lakonkan watak Bibi dalam teater Maduku Terpaling Kalut.
PUTERI Sarah lakonkan watak Bibi dalam teater Maduku Terpaling Kalut.

"Tujuan saya bersetuju membintangi teater ini kerana mahu mencabar diri. Maklumlah selama ini saya tidak berkesempatan untuk mencuba, seterusnya mengembangkan bakat lakonan dimiliki.

"Saya juga yakin nak terbabit dengan teater ini kerana ia bergenre komedi. Saya percaya dengan sesi latihan dilakukan, pasti mampu membuat yang terbaik nanti. Harapan saya agar teater Maduku Terpaling Kalut akan mendapat sambutan baik.

"Malah, saya juga akan mendapatkan tunjuk ajar sebaiknya daripada guru lakonan disediakan. Saya akan pastikan buat sehabis baik demi penonton," katanya.

Puteri Sarah yang juga isteri pengarah filem, Syamsul Yusof berkata, dia juga gembira bakat lakonannya semakin diterima penonton.

Katanya, apa yang pasti latihan teater itu juga tidak mengganggu jadual kerjanya yang lain.

Dia juga perlu tangguhkan dulu hasrat nak bercuti panjang bersama anak-anak, Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3.

"Saya kena dulukan komitmen pada teater ini sehingga selesai. Apapun, saya sangat-sangat 'happy' dengan kerja dilalukan sekarang.

"Segala kepercayaan diterima daripada pengarah, saya kena buktikan. Inilah masanya dan tak mahu mensia-siakan peluang yang ada. Saya amat yakin boleh melakukannya dengan komitmen padu diberi," katanya.

Sejak dua tahun lalu, banyak drama dan telefilem sudah dibintangi Puteri Sarah antaranya Sabarlah Duhai Hati, Ayat Dari Langit, Melastik Ke Hatimu, Ustazah Robotik, Tunggang Langgang, Syurga Nur Muhammad, Selut dan terbaharu, Anak Beranak Abe Yie.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 7:01 AM