PINGAT perak yang dimenangi Khairul Anuar (kiri), Atiq (tengah) dan Hazik adalah pingat pertama dirangkul skuad memanah negara dalam sejarah Sukan Asia. FOTO Yazit Razali
PINGAT perak yang dimenangi Khairul Anuar (kiri), Atiq (tengah) dan Hazik adalah pingat pertama dirangkul skuad memanah negara dalam sejarah Sukan Asia. FOTO Yazit Razali
Oleh Hamdan Saaid

Incheon: Pasukan memanah lelaki negara melakar sejarah pada Sukan Asia Incheon apabila meraih pingat perak selepas tewas 0-6 kepada China pada perlawanan akhir recurve berpasukan di Padang Memanah Asiad Gyeyang, hari ini.

Sekalipun sekadar pingat perak, ia satu pencapaian membanggakan kerana ia pingat pertama dirangkul skuad memanah negara dalam sejarah temasya itu sejak ia kali pertama dipertandingkan pada edisi 1978 di Bangkok.

Trio negara Khairul Anuar Mohamad, Atiq Bazil Bakri dan Haziq Kamaruddin bagaimanapun gagal mencari jawapan untuk menangani saingan China yang mengejutkan juara Olimpik London 2012, Korea Selatan pada separuh akhir semalam.

China yang diwakili Gu Xuesong, Qi Kaiyao dan Yong Zhiwei menang ketiga-tiga set 57-54, 57-53 dan 58-57 bagi memastikan pingat emas.

Pingat gangsa dimenangi Korea Selatan yang menewaskan Jepun 5-3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 September 2014 @ 12:23 PM