Kuala Lumpur: Selepas Safee Sali dan Mohd Safiq Rahim berjaya melakar nama selaku penjaring ketika bertemu Liverpool empat tahun lalu, pemain tengah Sarawak Joseph Kalang Tie turut menyimpan hasrat sama pada edisi kali ini.

Walaupun menyedari pasukan yang akan ditemuinya bertaraf dunia, ia tidak sedikit pun menggerunkan Joseph malah dia bersedia mencetak namanya selaku penjaring andai diberi peluang pengendali Pilihan Malaysia Dollah Salleh.

“Saya mempunyai misi peribadi menjelang perlawanan ini kerana saya mahu menjaringkan gol untuk pasukan. Saya tahu ia bukan mustahil namun kita tidak tahu apa yang bakal terjadi pada malam perlawanan nanti.

“Bagaimanapun, tidak ada gunanya saya menjaringkan gol tetapi kami tewas. Apa yang penting saya perlu berusaha keras mendapatkan gol demi pasukan sambil mencuba sedaya upaya untuk tidak tewas.

“Persiapan rapi sudah dilakukan bagi menghadapi Liverpool dan saya berharap apa yang dirancangkan akan menjadi pada malam perlawanan,” katanya.

Pada pertemuan terakhir empat tahun lalu, skuad negara yang mempertaruhkan pasukan kebangsaan di bawah kendalian Datuk K Rajagobal tewas 6-3 di tangan Liverpool dengan Safiq dan Safee menyumbang jaringan negara.

Joseph yang beraksi cemerlang ketika melayan kunjungan Tottenham Hotspur sebelum ini, mengaku teruja berdepan anak buah Brendan Rodgers dan akan memanfaatkan sepenuhnya aksi itu bagi mematangkan lagi permainannya.

“Sebagai pemain bola sepak profesional sudah pasti saya mahu belajar sesuatu daripada perlawanan ini dan saya berharap dapat mencuri sedikit ilmu daripada pemain Liverpool kerana mereka adalah pemain bertaraf dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 7:32 AM