KETUA Pegawai Eksekutif ProEvents Group  Julian Kam (dari kiri),  Hamidin, pemain legenda Liverpool  Ian Rush, Pengarah Komersial Liverpool FC Olly Dale, Pengarah Urusan Antarabangsa ProEvents  San Boon Wah   dan Dollah   menunjukkan jersi Liverpool ketika sidang media.
KETUA Pegawai Eksekutif ProEvents Group Julian Kam (dari kiri), Hamidin, pemain legenda Liverpool Ian Rush, Pengarah Komersial Liverpool FC Olly Dale, Pengarah Urusan Antarabangsa ProEvents San Boon Wah dan Dollah menunjukkan jersi Liverpool ketika sidang media.
Oleh Azlan Muhammad Zain

[email protected],my

Subang Jaya

Pengendali Harimau Malaya Dollah Salleh melaungkan keyakinan ‘mencipta kejutan’ apabila menghadapi kelab tersohor Liga Perdana Inggeris Liverpool FC dalam aksi persahabatan pada Julai nanti.

The Reds kendalian Brendan Rodgers akan bertandang ke Kuala Lumpur bagi menghadapi Pilihan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Julai selain menentang dua kelab Australia di negara itu.

“Jarang kita dapat melihat pasukan negara menang apabila menentang kelab luar. Jangan terperanjat, jika kita melakukan kejutan (kali ini). Setakat ini kita cadangkan (guna 100 peratus pemain tempatan) namun masih belum membuat keputusan akhir. Ini peluang pemain kita beraksi di peringkat tertinggi, menentang Liverpool yang sememangnya terkenal.

“Saya percaya pemain tempatan juga tidak sabar-sabar menentang mereka,” katanya selepas majlis mengumumkan perlawanan berkenaan semalam.

Mengulas lebih lanjut Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perlawanan itu bertujuan membantu persiapan skuad negara untuk menghadapi kelayakan Piala Asia 2019 dan Piala Dunia 2018.

“Walaupun bukan perlawanan berstatus A, kita akan menurunkan semua pemain pilihan Dollah bagi menghadapi perlawanan kelayakan untuk kedua-dua kejohanan berkenaan. Ini salah satu proses dalam membentuk pasukan dengan fokus utama layak secara merit ke Piala Asia 2019.

“Tidak banyak aksi persahabatan dapat dilakukan tahun ini kerana kebanyakan tarikh untuk perlawanan A dalam kalendar FIFA adalah untuk aksi kelayakan,” katanya.

Malah FAM mengambil langkah berhati-hati membabitkan penggunaan Stadium Nasional yang menimbulkan isu ketika kunjungan FC Barcelona pada 2013 apabila menjadikan Stadium Shah Alam sebagai pilihan sekiranya berdepan kesukaran menggunakan stadium utama negara itu.

“Saya sudah mengadakan perjumpaan dengan pihak stadium yang dijangka siap pada Mei. Namun FAM dan pihak Liverpool FC turut meninjau Stadium Shah Alam sebagai pilihan kedua,” jelasnya.

Kali terakhir Liverpool ke Malaysia pada 2011 dengan skuad negara tewas 3-6. Safee Sali menjaringkan dua gol manakala Safiq Rahim satu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:20 AM