Joseph (kiri) kagum kebolehan legenda Pahang, Azizul Kamaluddin.
Joseph (kiri) kagum kebolehan legenda Pahang, Azizul Kamaluddin.
Syazwan Msar


PENYERANG Kuching FA yang juga bekas pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie, mendedahkan legenda Pahang di penghujung era 90-an dan awal tahun 2000, Azizul Kamaluddin, adalah individu yang paling pengaruh terhadap dirinya untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

Maka tidak hairanlah mengapa Joseph pernah memilih nombor 12 sebagai pilihannya ketika mewakili Terengganu pada musim 2008 hingga 2011 walaupun kini dia lebih banyak menggunakan nombor 19 bersama pasukan lain.

Lebih menarik, Joseph mengakui dia terkilan belum pernah menemui pemain yang menjadi pujaannya itu sehingga sekarang walaupun pernah tinggal di Kuantan pada 2018 ketika menyarung jersi Pahang.

"Sejak di sekolah rendah lagi, kalau main bola, dalam hati ini, saya akan kata mahu jadi macam Azizul Kamaluddin dan itulah selalu saya berikan semangat tiap kali turun beraksi sehinggalah ke zaman profesional.

"Apa yang buat saya suka sangat dengan Azizul ialah dia ada karakter tersendiri yang saya susah hendak nampak kepada pemain lain dan menjadikan dia seseorang yang istimewa di mata saya.

"Dia punya sentuhan pertama dengan bola cukup baik malah tahap penyudahnya cukup berkesan sehingga dia mampu bersaing dengan penyerang import lain pada waktu berkenaan," katanya.

Azizul adalah antara pemain yang tersenarai dalam Best XI Joseph yang turut menyenaraikan tiga bekas rakan sepasukannya di Terengganu, Sharbinee Allawee, Zubir Azmi dan Ashari Samsudin.

Melengkapkan senarai pemain di posisi pertahanan ialah Razman Roslan, Jelius Ating dan S Kunanlan manakala barisan tengah selain Ashari terdiri daripada Safawi Rasid, B Rajinikandh dan Safiq Rahim.

Penyerang PJ City, Safee Sali menjadi pilihan Joseph untuk digandingkan bersama Azizul Kamaluddin.

Seorang lagi pemain yang dihormati Joseph ialah penolong ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating yang pernah menjadi rakan sepasukan ketika di PDRM pada usia 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 8:07 PM