TEKNOLOGI ketuhar Healsio buang lemak, garam berlebihan sepanjang proses memasak.
TEKNOLOGI ketuhar Healsio buang lemak, garam berlebihan sepanjang proses memasak.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Memasak sendiri bukan saja dapat menjaga tahap kebersihan, malah kita boleh mengatur dan memilih menu sihat untuk seisi keluarga.

Sungguhpun banyak kelebihannya, tidak ramai mengambil berat terhadap kandungan nutrisi yang hilang melalui cara memasak yang tidak tepat terutama vitamin.

Sebagai contoh, memasak sayur sepatutnya tidak perlu terlalu lama kerana kandungan vitamin mungkin akan hilang atau kandungan lemak dan kolesterol yang bertambah apabila memasak makanan menggunakan banyak minyak.

Mengikut cara masakan biasa, haba atau suhu panas disalurkan berterusan pada makanan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Tetapi, kebanyakan vitamin, terutama vitamin C dan B1 mudah terjejas dan sensitif kepada cahaya dan haba. Ini bermakna masakan cara biasa sering membinasakan kebanyakan vitamin ini.

Dengan evolusi teknologi, masalah kehilangan nutrisi makanan sudah dapat diatasi dengan penggunaan peralatan seperti ketuhar gelombang mikro yang amat memudahkan dan menjimatkan masa buat mereka yang sentiasa sibuk.

Bagaimanapun, mungkin tiada siapa yang menyangka memasak secara stim, memanggang dan membakar boleh dilakukan dengan menggunakan air. Dengan ketuhar pemanasan super stim (Superheated Steam Oven) Healsio keluaran SHARP, cara memasak seperti itu tidak mustahil dilakukan.

Penolong Pengurus Besar SHARP, Abdul Hamid Ismail berkata, ketuhar dengan teknologi pemanasan super stim adalah satu-satunya teknologi di pasaran yang menggunakan air untuk memasak dengan cara gril, memanggang, membakar dan stim dalam satu ketuhar.

Katanya, kesedaran tinggi masyarakat terhadap kesihatan menyebabkan mereka semakin mementingkan gaya hidup sihat terutama dari aspek pemakanan.

“Sebut apa saja makanan, semuanya ada di negara ini, malah menjadi budaya setiap acara mahupun pertemuan disusuli dengan jamuan.

“Sebab itu, SHARP perkenalkan konsep masakan menggunakan teknologi ini untuk memastikan kenikmatan terhadap makanan itu bukan hanya kerana keenakannya, tapi juga sihat,” katanya.

Abdul Hamid berkata, teknologi ketuhar Healsio membolehkan makanan yang dimasak secara lebih sihat kerana penggunaan tenaga haba yang tinggi dapat membuang lemak dan garam berlebihan semasa proses berkenaan.

Sistem kawalan pemanasan dan peredaran menghasilkan pemanasan super stim yang membolehkan makanan seperti daging, ayam dan ikan masak keperangan sambil menyingkirkan lemak dan garam yang terkandung di dalamnya.

Bagi sayuran pula, memasak menggunakan teknologi ini membolehkan persekitaran rendah oksigen mengekalkan antioksidan dalam sayuran seperti vitamin C walaupun dalam suhu tinggi.

Lebih menarik, pelbagai jenis makanan boleh dimasak bersama seperti ikan, ayam dan sayuran, tapi hasilnya sayuran akan dimasak seperti yang dikehendaki manakala ayam pula masak rangup dan berjus.

“Ketuhar ini seolah peralatan masakan semua dalam satu dan menjadi penye­lesaian kepada penggunaan pelbagai jenis peralatan memasak untuk beberapa hidangan. Secara tidak langsung dapur tidak perlu dikotorkan dengan minyak dan ­kotoran,” katanya.

Didatangkan dengan model 31 liter (L), Superheated Steam Oven juga mempunyai fungsi pemanasan semula dan cair beku dan boleh didapati di pengedar sah Sharp terpilih di seluruh negara.

“Setiap pembelian disertai sesi belajar masak secara percuma selama dua jam di rumah masing-masing oleh petugas SHARP untuk pembeli sekitar Lembah Klang manakala di kawasan lain, sesi belajar masak akan dilakukan secara berkumpulan di sesuatu kawasan,” katanya.

Sementara itu, Peraduan Resipi Sehebat SHARP Harian Metro masih terbuka sehingga 15 Ogos depan.

Peraduan bertemakan Masak Sedap Hidup Sihat terbuka kepada pembeli ketuhar gelombang mikro SHARP yang mendapat satu atau dua borang peraduan bergantung kepada model yang dibeli.

“Terdapat 19 jenis model ketuhar gelombang mikro boleh didapati dalam tempoh yang ditawarkan pada harga antara RM300 hingga RM2,000,” katanya.

Abdul Hamid berkata, peraduan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu Masakan Ketuhar Gelombang Mikro dan Masakan Kombinasi.

“Penilaian resipi berdasarkan resipi yang ba­nyak menggunakan ketuhar sebagai medium masakan bersesuaian dengan matlamat kempen yang mahu mempromosikan ketuhar gelombang mikro sebagai peralatan memasak untuk gaya hidup sihat.

“Seramai 12 peserta terpilih ke peringkat akhir mewakili dua kategori dan mereka memasak di depan juri menggunakan resipi sama,” katanya.

Setiap penyertaan perlu menggunakan borang rasmi yang boleh didapati di akhbar HM, HM Online, laman web rasmi SRSSC, Facebook SHARP Malaysia dan pengedar sah SHARP.

Keseluruhan hadiah yang ditawarkan peraduan itu berjumlah RM30,000 merangkumi wang tunai, produk SHARP, trofi dan sijil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:01 AM