WEE menaiki vespa mengelilingi beberapa negeri sebagai simbolik kepada ‘Cuti-cuti 1Malaysia Dekat Je’.
WEE menaiki vespa mengelilingi beberapa negeri sebagai simbolik kepada ‘Cuti-cuti 1Malaysia Dekat Je’.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Tekanan kerja atau cuti hari minggu kadang kala membuatkan anda mahu mencari sesuatu untuk melupakan seketika penat lelah itu dengan berehat di tempat tertentu bagi merehatkan minda, tapi di mana destinasinya?

Cuti hujung minggu atau cuti pendek kebiasaannya dihabiskan di rumah namun kita perlu mengubah kotak minda kerana percutian tidak semestinya ke luar negara.

Justeru itu, Tourism Malaysia melalui kempen terbaru, ‘Cuti-Cuti 1Malaysia Dekat Je’ mengajak orang ramai bercuti dan bermalam di lokasi menarik di sekeliling anda.

‘Dekat Je’ membawa maksud lokasi percutian yang anda idamkan tidak perlu mengambil masa atau perjalanan yang lama.

Setiap 14 negeri di Malaysia menawarkan banyak tempat menarik untuk dikunjungi, contohnya di Selangor, tempat yang sering menjadi tarikan pelancong ialah Bukit Broga dan Bukit Cerakah.

Bagi penduduk Lembah Klang dan sekitarnya, perjalanan ke lokasi berkenaan tidak mengambil masa yang lama, maka cuti hujung minggu dapat dimanfaatkan dengan bermalam di lokasi terbabit.

Gunung Jerai di Gurun, Kedah antara lokasi menarik bagi penduduk sekitar negeri Kedah dan Perlis untuk dijadikan lokasi percutian hujung minggu. Jika aktiviti memanjat gunung atau perjalanan pergi dan balik dalam sehari tidak memenatkan, pilihlah untuk bermalam di situ.

Pengerusi Tourism Malaysia, Wee Choo Keong berkata, percutian tidak semestinya membabitkan cuti khas atau cuti sekolah semata kerana hujung minggu adalah waktu yang baik untuk bercuti.

“Kempen ini bertujuan mengingatkan rakyat Malaysia bahawa banyak tempat boleh dilawati pada hujung minggu tanpa perlu meng­ambil cuti rehat atau cuti sekolah,” katanya.

Wee yang ditemui di Hotel Seri Pacific ketika Majlis Pelancaran Kempen Cuti-cuti 1Malaysia Dekat Je, baru-baru ini berkata, melancong atau bercuti dalam negara menjimatkan masa dan kos kerana banyak tempat boleh dikunjungi.

Ketika majlis pelancaran itu, Wee sempat ‘mengembara’ merentasi seluruh negara dari KLCC ke Langkawi melalui pelbagai tarikan pelancong seperti pemandangan yang indah di Cameron Highland dan seni bina hebat Jambatan Pulau Pinang sebagai simbolik betapa dekat dan mudah menikmati percutian dalam negara.

Tourism Malaysia memilih media sosial sebagai platform untuk mempergiatkan promosi dan orang ramai digalakkan mengambil gambar ‘wefie’ untuk dimuatnaik dengan meletakkan ‘hashtag’ lokasi dan ‘dekat je’ pada keterangan gambar.

Layari laman web, www.tourismmalaysia.gov.my atau di www.twitter.com/tourismmalaysia untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:01 AM