Zainuddin (dua dari kanan) melawat kaunter jualan percutian selepas merasmikan “ Photo Challenge 2021” di Aeon Taman Setiawangsa. FOTO FATHIL ASRI
Zainuddin (dua dari kanan) melawat kaunter jualan percutian selepas merasmikan “ Photo Challenge 2021” di Aeon Taman Setiawangsa. FOTO FATHIL ASRI
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Tourism Malaysia menawarkan hadiah berupa pakej percutian dan peralatan fotografi bernilai hingga RM80,000 menerusi pertandingan 'Photo Challenge 2021' bermula hari ini sehingga 11 Februari depan.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Zainuddin Abdul Wahab, sekali gus menganjurkan program Jayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia di Pusat Beli-Belah Aeon Setiawangsa (AU2) di sini.

Zainuddin berkata, pertandingan ini bertujuan mencungkil kreativiti rakyat Malaysia selain dapat membantu merancakkan ekonomi pelancongan domestik negara.

"Photo Challenge 2021 ini mengajak peminat fotografi mengabadikan detik indah menerusi kategori bertemakan 'Extreme Shot', Alam Semula Jadi, Seni & Budaya, 'Human Interest' serta Dahulu & Sekarang.

"Pertandingan yang dianjurkan selama dua bulan ini juga memberi peluang kepada pencinta fotografi untuk merancang perjalanan mereka bagi meneroka keindahan destinasi pelancongan tanah air.

"Kami menjangkakan ia akan mendapat sambutan memberangsangkan susulan penyertaan adalah percuma dan peserta boleh menggunakan sebarang jenis kamera bagi merakam imej yang diingini," katanya.

Pertandingan terbuka kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas.

Menurutnya, selain hadiah berupa pakej pelancongan serta peralatan fotografi, pihaknya turut menyediakan hadiah pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap kategori serta hadiah saguhati.

Kata Zainuddin, pihaknya bakal memberikan tumpuan yang lebih kepada pemain industri pelancongan domestik secara keseluruhan bagi menggalakkan aktiviti pelancongan domestik sekali gus mempergiatkan kempen Cuti-Cuti Malaysia di seluruh negara.

Maklumat lanjut berkaitan syarat pertandingan dan borang penyertaan boleh diperoleh dengan mengakses www.malaysia.travel.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 5:48 PM