PEMAIN TOT United C ceria selepas dinobat juara peringkat Grand Final di Puchong.
PEMAIN TOT United C ceria selepas dinobat juara peringkat Grand Final di Puchong.
Mohd Badlishah Mohd Ali


Kuala Lumpur: Skuad TOT United C sekali lagi membuktikan mereka antara pasukan disegani dalam arena futsal negara apabila muncul juara Grand Final Kejohanan Futsal Neymar Jr’s peringkat kebangsaan di gelanggang futsal IM4U Sentral Puchong, baru-baru ini.

Pada aksi final, pertemuan TOT United C menentang RTG Badboyz penuh dramatik dan meriah. Perlawanan berakhir dengan kejuaraan milik TOT United C hasil kemenangan 2-0 jaringan Azwann Ismail.

Sebelum itu, pada aksi separuh akhir TOT United C tidak menghadapi masalah menewaskan GB B 5-0 manakala RTG Badboyz menerima tentangan hebat TOT United B untuk menang tipis 1-0.

Hasil kejayaan itu, TOT United C bakal membawa cabaran Malaysia dan diterbangkan ke Sao Paolo, Brazil bagi menyertai Kejohanan Futsal Neymar Jr’s peringkat antarabangsa yang membabitkan penyertaan 52 negara.

Lebih menarik, bintang Brazil dan Barcelona Neymar dijangka turun padang bagi merasmikan sambil menyaksikan kejohanan anjuran Redbull International itu.

Ini kali kedua TOT United C menyertai kejohanan sama tetapi aksi mereka tahun lalu sekadar berakhir di peringkat kumpulan.

Pemain yang membawa cabaran TOT United C ialah Hazizi Mansor, Azwann Ismail, Syed Aizad Daniel Syed Nasir, Mohammad Azri Rahman, Muhammad Hazreen Mohamad Ali, Abu Haniffa Hasan dan Mohamad Ali Mahat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 6:19 AM