SEBAHAGIAN sukarelawan yang menjayakan program Tautan Kasih Ramadan.
SEBAHAGIAN sukarelawan yang menjayakan program Tautan Kasih Ramadan.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Langat: Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Langat mengambil kesempatan di bulan Ramadan ini dengan menganjurkan Program Tautan Kasih Mengihyakan Ramadhan 1436H bertempat di Sekolah Menengah Sains Banting baru-baru ini.

Program yang bertemakan ‘Tautan Kasih Ramadan’ itu dihadiri seramai 1,300 orang tetamu yang mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti.

Selain Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Langat ia turut dianjurkan secara bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat, Sekolah Menengah Sains Banting, Pertubuhan IKRAM Kuala Langat dan Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah Malaysia (PEKDIS) Daerah Kuala Langat.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti gotong-royong memasak bubur lambok, Tadarus Al-Quran, Tazkirah Ramadhan, Majlis Berbuka Puasa, Solat Tarawih dan Witir.

Turut berlangsung ialah Majlis Penyerahan Sumbangan kepada 192 orang pelajar Asnaf sekitar daerah Kuala Langat, manakala hasil gotong-royong bubur lambok diedarkan kepada masjid, surau dan rumah anak yatim berdekatan.

Lebih menarik pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sains Banting berbuka puasa berkonsepkan makan berkongsi di dalam satu dulang, di mana mereka dibahagikan kepada 80 kumpulan bersama guru kumpulan masing-masing.

Menurut pengetua sekolah berkenaan, Mohamad Kamaludin Taib, konsep itu memang menjadi tradisi menjelang bulan Ramadan.

“Program ini memberi manfaat mengeratkan hubungan silaturrahim bersesuaian dengan tema,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:04 AM