Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: “Saya ingin menyatakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak menjadi Penaung Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) seperti yang didakwa sesetengah pihak,”.

Demikian kenyataan rasmi Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd Fahmy Yahya berhubung spekulasi disebarkan laman tidak rasmi mengenai status Tunku Ismail selepas meletak jawatan selaku Presiden PBNJ, kelmarin.

Katanya, peminat mahupun penyokong bola sepak Johor DT tidak sepatutnya membuat spekulasi sendiri seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh laman tidak rasmi.

“Sebarang kenyataan hanya akan dikeluarkan melalui laman rasmi Johor Southern Tigers dan penyokong dinasihat supaya merujuk kepada laman rasmi berkenaan terlebih dahulu,” kata Mohd Fahmi menerusi kenyataan di laman rasmi itu.

Tunku Ismail membuat kejutan apabila meletak jawatan selaku Presiden PBNJ berkuatkuasa kelmarin dan ia diumumkan oleh Fahmy menerusi lawan rasmi Johor Southern Tigers.

Dalam kenyaan itu juga memaklumkan, Datuk Ismail Karim yang juga Setiausaha Kerajaan Johor dilantik sebagai presiden baru badan induk bola sepak negeri itu.

Tunku Ismail menerajui pucuk kepimpinan PBNJ pada Februari 2012 dan pada 3 April 2013 beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden selepas mengakui agak sukar mengikut peraturan yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Namun Tunku Ismail menarik balik peletakan jawatan itu selepas mengadakan perjumpaan dengan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah yang ketika itu menerajui badan induk bola sepak negara.

Pada Oktober tahun lepas, Tunku Ismail dilantik sebagai penasihat FAM namun tidak sampai setahun memegang jawatan itu, beliau bertindak melepaskan jawatan berkenaan pada 20 Februari 2015.

Peletakan jawatan Tunku Ismail terus menjadi tanda tanya tetapi beliau masih mengambil berat pasukan Johor DT apabila sudah mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemain ketika sesi latihan di Padang Seri Gelam, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:02 AM