Beijing: Dua pegawai China membeli mayat daripada pencuri bagi memenuhi kuota tanah kubur ditetapkan kerajaan, lapor media tempatan semalam.

Pegawai yang berkhidmat dengan kerajaan Guandong itu didakwa membeli mayat berkenaan daripada seorang penceroboh kubur.

Lelaki terbabit dipercayai melarikan lebih 20 mayat dari beberapa kawasan perkuburan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, kedua-dua pegawai terbabit bertanggungjawab dalam program reformasi pengurusan pengebumian.

“Suspek memberitahu polis, mereka membeli mayat berkenaan untuk memenuhi kuota pembakaran mayat ditetapkan kerajaan,” lapor Xinhua.

China menggalakkan warganya membakar mayat berbanding dikebumikan walaupun dasar itu tidak disenangi di seluruh negara.

Langkah itu dibuat bagi membolehkan lebih banyak tanah dapat digunakan untuk pertanian dan pembangunan berbanding dijadikan kawasan perkuburan.

Enam warga emas di wilayah Anhui dilaporkan membunuh diri pada Mei lalu untuk memastikan mereka mati sebelum peraturan baru melarang pengebumian dikuatkuasakan.

Pihak berkuasa juga melancarkan kempen ‘meratakan kubur’ bagi membolehkan kawasan itu dibangunkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:14 AM