Oleh Wan Asrudi Wan Hassan

Kuala Kangsar: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Gold disediakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis yang perjalanannya hanya mengambil masa lima jam bermula hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebagai permulaan perkhidmatan berkenaan membabitkan dua kali perjalanan sehari.

“Ia membabitkan satu perjalanan dari KL Sentral, Kuala Lumpur-Padang Besar pada sebelah pagi dan satu perjalanan dari Padang Besar-KL Sentral di sebelah petang.

“Perkhidmatan ini dimulakan sempena sambutan Aidilfitri minggu depan dan kami menjangka ia mendapat sambutan orang ramai kerana perjalanan lebih cepat dan selesa,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan itu mengenakan tambang mengikut kadar biasa ETS iaitu 13 sen bagi setiap kilometer atau RM81 dari KL Sentral-Padang Besar selain berhenti di semua stesen kereta api utama seperti Ipoh dan Butterworth.

“Tren yang mempunyai enam gerabak itu boleh memuatkan 312 penumpang untuk satu perjalanan.

“Kami mempertimbangkan untuk meningkatkan kekerapan perjalanan KL Sentral-Padang Besar apabila tren baru siap dan diuji sebelum diluluskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam tempoh terdekat,” katanya di Stesen Kereta Api Kuala Kangsar, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Dr Ismail Bakar, Pengerusi KTMB Datuk Nawawi Ahmad dan Presidennya Sarbini Tijan.

Liow bersama pegawai kanan Kementerian Pengangkutan, KTMB, SPAD serta media dibawa menaiki tren baru ETS dihasilkan kilang CCRC Rolling Stock Malaysia (CCRC) dari Stesen Batu Gajah sehingga ke Stesen Kuala Kangsar yang mengambil masa perjalanan 30 minit. Sebelum itu, beliau turut diberi taklimat mengenai aktiviti dan proses pembuatan tren serta dibawa melihat kawasan kilang CCRC yang baru dibina di Batu Gajah.

Tiong Lai berkata, KTMB membeli 10 gerabak ETS berharga RM506 juta yang mana empatdibawa dari China, manakala enam lagi dibina di kilang CCRC Batu Gajah dengan semua tren itu dijangka digunakan menjelang tahun hadapan.

Menurutnya, kilang CCRC dengan nilai pelaburan RM400 juta berkemampuan membina 100 gerabak baru selain menyelenggara serta membaiki 150 gerabak.

“Pengurusan syarikat itu berminat menambah pelaburan di Malaysia dengan sasaran membina lebih banyak gerabak serta tren yang boleh dieksport ke luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 1:00 PM