BINAAN replika dihasilkan sendiri oleh ahli kelab berkenaan.
BINAAN replika dihasilkan sendiri oleh ahli kelab berkenaan.
REPLIKA kereta api hampir 90 peratus sama dengan binaan sebenar.
REPLIKA kereta api hampir 90 peratus sama dengan binaan sebenar.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Seiring peredaran zaman, munculnya pelbagai gajet elektronik yang menjadi kegilaan ramai sehingga boleh dikatakan generasi muda hari ini semakin leka dengan gajet di tangan tanpa membuat sesuatu yang bermanfaat atau setidak-tidaknya memiliki hobi mengumpul barangan kegemaran.

Bagaimanapun, masih ramai sebenarnya yang setia dengan hobi mengumpul barang kegemaran sama ada mainan, barang antik, hiasan atau figura hero.

Ada yang menganggap hobi mengumpul barangan adalah hobi yang kolot dan membazir, tetapi ia sebenarnya membina sifat yang baik seperti disiplin dalam menjaga koleksi mereka selain mampu membina jaringan hubungan sosial antara pengumpul.

Perkara itu diakui Mohd Afzarizul Othman Fuad, 40, yang menjadikan hobi mengumpul kereta api mini sejak 15 tahun lalu. Dia berpuas hati kerana daripada sekadar suka-suka, hobinya itu turut dikongsi beberapa rakan pengumpul serupa dan mereka sama-sama menubuhkan Kelab Keretapi Mini Kuala Lumpur (KLMTC).

Bertindak sebagai presiden kelab berkenaan, Mohd Afzarizul yang lebih dikenali sebagai Zul dalam kalangan rakannya dibantu lapan lagi sahabat dalam komuniti berkenaan berjumpa hampir setiap minggu di rumah kelab di D7 Commercial Centre Sentul dan ada kalanya mereka sering berkunjung ke rumah satu sama lain untuk melihat reka bentuk (layout) masing-masing.

“Saya meminati hobi ini sebab ia mempunyai keunikannya tersendiri. Bukan sekadar hobi semata-mata, malah kewujudan elemen sains dan seni dalam hobi ini membuatkannya istimewa. Setiap masa ada saja ilmu baru yang dipelajari dan ini dapat meningkatkan ilmu saya dalam kedua-dua bidang itu.

“Hobi mengumpul barangan kerata api mini bermula sejak 1999 namun dulu abang saya yang tolong membeli kerana ketika itu saya baru saja tamat pengajian dan sudah tentu tidak mempuyai wang yang banyak.

“Abang saya membeli manakala tugas saya memasangnya. Jika saya ada wang, saya turut membeli aksesori seperti landasan tambahan dan rumah untuk kami main bersama,” katanya.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, ketika berkelapangan dia sentiasa berjumpa rakan di rumah kelab bagi berkongsi aktiviti dan berbual mengenai model yang dibeli atau akan dibeli.

Selain itu, katanya, mereka turut berkongsi idea untuk membina sesebuah reka bentuk dan sering berkongsi ilmu memandangkan latar belakang mereka adalah profesional dalam bidang masing-masing.

Sebagai contoh, katanya, dia sendiri seorang ahli perniagaan dalam bidang pengiklanan dan acara, manakala rakannya terdiri daripada jurutera pesawat, arkitek, penasihat kewangan dan reka bentuk industri.

Zul yang berasal dari Alor Setar, Kedah dan kini menetap di Bukit Jelutong, Shah Alam berkata, hobi berkenaan memberi–nya kepuasan kerana dapat menenangkan minda selepas penat bekerja, malah hobi itu turut merapatkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan antara mereka.

“Isteri dan anak banyak menyokong saya dalam hobi ini. Isteri dan anak juga mempunyai hobi yang hampir serupa iaitu mengumpul Lego. Ruangan di rumah kami dikorbankan untuk hobi kami sekeluarga.

“Sehingga kini, saya memiliki koleksi 45 kepala kereta api dan hampir 150 wagon penumpang dan kargo daripada jenama Maerklin, Roco, Fleischman, Piko dan Brawa. Semua koleksi ini adalah koleksi kesayangan saya dan setakat ini saya tidak pernah menjualnya kepada sesiapa,” katanya.

Zul berkata, dia mendapatkan koleksinya dengan membelinya di kedai hobi sekitar Kuala Lumpur walaupun berharga sedikit mahal, malah ada juga koleksinya dibeli di luar negara sekiranya berkesempatan bercuti atau bekerja di sana. Dia turut mendapatkan koleksi kereta api mini secara dalam talian melalui ebay atau laman web yang dipercayai.

Koleksi paling mahal yang pernah dimilikinya adalah daripada jenama Roco Taurus Railjet iaitu set satu kepala kereta api dan penumpang yang mencecah harga RM5,000.

Menurutnya, hobinya itu turut membawa dia dan ahli kelab menganjurkan beberapa acara dan program untuk pengumpul yang dipanggil Free-Mo di KL Sentral, Galeri Seni KL, Citta Mall, Pameran Pengumpul Mainan (CTFKL) dan Pameran Wangsa Maju.

Lebih membanggakan apabila kelab itu turut dijemput Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menyertai ekspo bertaraf antarabangsa iaitu Ekspo Persidangan Inovasi Nasional (NICE) baru-baru ini di KLCC.

Katanya, kelab KLMTC turut menyediakan perkhidmatan membuat layout dan diorama, malah mereka bersedia meminjamkan layout mereka untuk tujuan pameran dan promosi.

Dia juga berhasrat dapat membina layout bertaraf muzium seperti yang terdapat di Miniture Wunderland di Hamburg, Jerman yang menjadi antara tarikan pelancongan.

“Besar harapan kami supaya pihak kerajaan dan agensi berkaitan dapat menyokong pembabitan kami khususnya dalam industri lokomotif negara dan dapat memanfaatkan ruangan yang ada di Stesen Kuala Lumpur agar dapat dijadikan ruang untuk menjalankan aktiviti dan program yang diusahakan kelab.

“Mungkin juga kami boleh jadikan tempat ini sebagai pusat rujukan ilmu dan satu tarikan pelancongan yang baru di negara ini kerana pengangkutan kereta api memainkan peranan penting dalam sejarah pembangunan negara. Misalnya, suatu ketika dulu landasan kereta api pertama didirikan di bandar Taiping diikuti bandar lain seperti Seremban-Port Dickson dan Kuala Lumpur-Port Kelang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 5:55 AM