ABDUL Qayyum menunjukkan koleksi kereta yang disusun pada replika bandar ciptaannya.
ABDUL Qayyum menunjukkan koleksi kereta yang disusun pada replika bandar ciptaannya.
ABDUL Qayyum tidak jemu membersihkan koleksi kesayangannya.
ABDUL Qayyum tidak jemu membersihkan koleksi kesayangannya.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid

Permainan Hot Wheels yang diperoleh secara percuma selepas membeli makanan di sebuah restoran makanan segera ketika berusia sembilan tahun menjadi pendorong kepada Abdul Qayyum Ibrahim, 28, untuk terus menjadi pengumpul tegar kereta mini itu sehingga kini.

Abdul Qayyum yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat penerbangan di Sabah kini mempunyai koleksi permainan Hot Wheels lebih 1,500 kereta pelbagai jenama.

Antara jenama kereta pertama dimilikinya ialah Ford Escort manakala kereta Fiat 500 koleksi terbaru yang ada dalam simpanannya.

Selain itu, Abdul Qayyum turut mempunyai koleksi model kereta berjenama lain seperti Honda EF, Honda S200, Datsun 510sss Coupe; Datsun 240z, Datsun Pickup 620, Honda NSX dan Skyline GTR R34.

Namun, minatnya terhadap mainan keluaran Mattel itu turut melangkaui kemampuan kebanyakan penggemar yang lain apabila dia turut menjadi 'mekanik' dengan membuat rekaan kembali Hot Wheels mengikut imaginasinya.

"Ketika zaman kanak-kanak saya dulu, kereta jenis ini cukup murah iaitu sekitar RM2.99 sehingga RM4.99 setiap satu. Ketika itu saya sanggup menahan lapar untuk mengumpul duit membeli permainan ini.

"Jika saya diberikan wang belanja sekolah RM2 sehari, saya simpan separuh sehinggalah cukup RM5 bagi membeli satu kereta Hot Wheels setiap minggu.

"Sehingga satu masa, saya dimarahi ibu kerana menahan lapar semata-mata untuk mengumpul duit membeli permainan ini," katanya.

Apabila sudah ada pendapatan sendiri, minat untuk mengumpul kereta mini itu terus bercambah terutama ketika kenderaan keluaran pasaran domestik Jepun (JDM) mula diperkenalkan.

Bagaimanapun dia hanya mengumpul kereta yang diminati dan tidak 'rambang mata' apabila melihat keluaran terbaru. Ini kerana, setiap jenis kereta yang diminati mempunyai nilai tersendiri selain boleh direka bentuk semula mengikut imaginasinya.

"Jika dikira kos keseluruhan, jumlah perbelanjaan yang sudah dikeluarkan sejak saya kecil untuk mengumpul semua kereta Hot Wheels ini melebihi RM10,000 ," katanya.

Dia juga sering bertukar idea dengan penggemar kereta itu di Sabah khususnya sekitar Kota Kinabalu. Setiap hujung minggu dia keluar berkumpul bersama rakan bagi melihat dan menjual koleksi yang ada.

"Setiap minggu, saya dan beberapa rakan lain sering mengadakan perjumpaan bagi membuat pameran dan bidaan harga model kereta itu untuk dijual kepada pengumpul yang hadir. Pada bidaan itu, harga ditawarkan serendah RM1 sehingga RM70 bagi satu kereta," katanya.

Abdul Qayyum menambah, sesi membuat reka bentuk semula kereta itu dilakukan pada masa lapang.

"Tunang saya memahami hobi saya ini sehinggakan barang hantaran untuk saya juga mengandungi beberapa model kereta keluaran Mattel.

"Selain dijadikan barang hantaran, saya turut menerima replika kek pertunangan berbentuk kereta Hot Wheels," katanya.

Ujarnya, bagi 'menghidupkan' suasana yang seakan-akan sebuah bandar, dia turut membuat bangunan kecil dan tempat meletak kenderaan yang diperbuat daripada barangan terpakai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:02 AM