Junaidi bersama koleksi basikalnya. Foto NURUL FATIHAH SULAINI
Junaidi bersama koleksi basikalnya. Foto NURUL FATIHAH SULAINI
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Demi kepuasan serta minat mendalam terhadap basikal klasik, seorang guru sanggup berbelanja lebih RM35,000 untuk mengumpul pelbagai jenis koleksi basikal klasik dari dalam serta luar negara.

Pengumpul basikal klasik, Junaidi Abdillah Shafi 45, berkata, pada awalnya dia sekadar mengumpul koleksi barang antik kerana seni pembuatan barang lama kena dengan jiwanya.

Katanya, dia mula mengumpul koleksi basikal antik selepas melihat beberapa rakannya di media sosial turut berkongsi hobi serta minat sama.

"Sepanjang hampir sepuluh saya berjaya mengumpulkan lebih 30 basikal dan kini sebahagiannya dijual untuk diganti dengan model lagi antik.

"Antara koleksi raleigh spring, butcher bike 1930 serta beberapa model lain termasuk spring 1908 yang dibeli pada harga RM7,000 kini bernilai belasan ribu ringgit," katanya ketika ditemui di Karnival Permotoran Pantai Timur 2022, di Limbongan, Kampung Raja, di sini, hari ini.

Katanya, selalunya dia tidak akan mengubahsuai basikal antik yang baru dibelinya tetapi hanya menambah beberapa aksesori kecil seperti lampu basikal serta kunci untuk mengekalkan rupa bentuk asal basikal.

"Sebelum ini saya pernah menyertai beberapa siri kayuhan di beberapa negeri dan ini kali pertama menyertai pameran basikal klasik," katanya.

Junaidi berkata, dia dalam perancangan untuk mewujudkan mini galeri basikal di rumahnya bagi menempatkan koleksi basikal antik serta dijadikan tempat bersantai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 5:58 PM