Waze
Waze
PLUS Expressways
PLUS Expressways
Greeting Cards
Greeting Cards
Tripda
Tripda
Maps.me
Maps.me
PixlrExpress
PixlrExpress
Dropbox
Dropbox
Oleh Afiq Hanif


Pada kebiasaannya, persiapan menyambut Aidilfitri lebih bermakna apabila kebanyakan kelengkapan dan perhiasan rumah mula disediakan.

Pinggan mangkuk, senduk, periuk dan buku resipi sudah pasti kekal menjadi ‘gajet’ meriah setiap kali musim perayaan siap disediakan namun pada zaman digital sekarang, beberapa persiapan raya digital juga tidak dilupakan.

Ditambah penggunaan telefon pintar yang melebihi 100 peratus di negara ini, sudah pasti ia menjadi gajet berguna ketika musim perayaan.

Apa kaitannya dengan raya?

Ramai antara kita tidak menyedari dengan beberapa aplikasi berupaya memudahkan urusan ketika musim perayaan.

Misalnya, Waze yang membantu merancang perjalanan atau Google Maps yang memberi cadangan tempoh perjalanan sesuai kepada pengguna jalan raya.

Selain itu, terdapat aplikasi seperti MyBengkel yang membolehkan carian bengkel dan sebut harga pada harga berpatutan sebelum anda servis kenderaan.

IT@Metro mencadangkan beberapa aplikasi yang sesuai digunakan ketika musim perayaan. Kalau secara tradisionalnya kita bersiap dengan membeli baju raya, jangan dilupakan juga mendapatkan aplikasi seperti berikut:

Waze

Aplikasi berasaskan komuniti ini sudah pasti berguna untuk merancang perjalanan dan mencari jalan yang sesuai menuju ke kampung di samping mengetahui apa yang berlaku di depan perjalanan anda.

Ia mengingatkan anda mengenai kesesakan jalan raya dan memberi laluan terbaik untuk ke destinasi yang dipilih tanpa perlu mengharungi kesesakan itu.

Selain itu, ia memantau halangan jalan raya, perangkap kelajuan polis, kemalangan, penutupan jalan dan banyak lagi.

Ciri komunitinya membolehkan anda menyumbang terhadap pemberitahuan status kesesakan sebaik anda membuka aplikasi Waze apabila memandu.

PLUS Expressways

Setiap hari, dianggarkan lebih 1.2 juta pengguna lebuh raya di negara ini dan jumlah ini meningkat sebanyak 25 peratus ketika musim perayaan yang memerlukan sistem terkini bagi menyampaikan maklumat lalu lintas lebih baik.

Menyedari kepentingan terbabit, Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) mengenal pasti teknologi sosial yang mampu memberi komunikasi pelbagai cara kepada kepada pengguna jalan raya.

Sebelum ini, PLUS memperkenalkan aplikasi PLUS Expressways secara percuma yang didapati menerusi kedua-dua platform Android dan iOS.

Aplikasi terbabit bertujuan menyalurkan maklumat trafik lebih pantas, mudah dan jelas malah lebih penting, pada masa sebenar.

Pada masa sama, ia menyalurkan video secara langsung di lebuh raya serta kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi membolehkan pengguna melihat sendiri keadaan trafik secara langsung.

Di samping itu, PLUS akan menyalurkan maklumat pantas seperti kemalangan atau kesesakan melalui notifikasi secara langsung yang dilaksanakan melalui aplikasi sama.

Selain itu, anda boleh mengetahui mesin ATM, stesen petrol dan kemudahan terdekat jika memerlukannya.

Selamat Hari Raya Greeting Cards

Meskipun tradisi kad raya melalui pos juga harus dikekalkan, pada masa sama teknologi turut membantu memudahkan penghantaran ucapan dengan grafik yang biasa kita lakukan.

Dengan aplikasi Selamat Hari Raya Greeting Cards ini, anda boleh memilih koleksi kad hari raya yang menarik.

Kemudian, kirimkan e-kad terbabit dari telefon pintar anda kepada keluarga, sahabat handai dan sebagainya melalui e-mel. Mungkin dengan kaedah e-mel, ia seakan-akan menghantar surat sebenar kepad penerima.

Tripda

Tiket bas habis? Tak mampu bayar tol? Jangan risaukan masalah terbabit dan anda memang perlu pulang ke kampung untuk bertemu keluarga tercinta walau apa cara sekali pun.

Nasib baik, kini tiba masa untuk aplikasi perkongsian kereta, Tripda yang dibiayai Rocket Internet.

Aplikasi ini lebih kepada pengguna yang tidak mahu keseorangan ke suatu destinasi (jarak jauh) kerana mungkin ada pengguna lain ingin menumpang ke lokasi sama.

Aplikasi berdasarkan laman sosial terbabit kini boleh dipindah turun menerusi platform Android dan iOS menawarkan perjalanan jarak jauh seperti dari Lembah Klang ke selatan atau utara tanah air, Johor Bahru ke Singapura, sekitar Lembah Klang dan beberapa pusat pengajian tinggi di negara ini.

Penumpang dan pemandu sebelum itu perlu berhubung menerusi laman sosial Facebook sebelum mendapatkan maklumat mengenai perjalanan serta nombor telefon atau e-mel yang sah untuk dihubungi.

Aplikasi ini membolehkan penumpang memilih pemandu dimahukan dan senarai tertera sememangnya boleh dipercayai kerana kami terlebih dulu membuat pengesahan teliti selain menggunakan sistem rating pengguna demi keselamatan kedua- dua pihak.

Jika selesa dengan pemandu wanita, penumpang juga boleh memilih perjalanan menggunakan pemandu wanita saja atau sebaliknya.

Maps.me

Kadang-kadang, kita mahu menziarahi sanak-saudara di kampung yang tidak pernah bertemu sebelum. Lokasi rumah pun tidak tahun di mana.

Mahu gunakan Waze berdasarkan alamat diberi, susah pula tanpa Internet.

Jadi, gunakan aplikasi peta, Maps.me membolehkannya bertindak sebagai alat GPS anda dalam telefon pintar meskipun ia tidak disambungkan secara ‘online’.

Maps.me yang beroperasi tanpa Internet berkenaan sudah pasti membantu anda mengelakkan caj perayauan antarabangsa sekiranya berada di luar negara dan memerlukan peta digital yang kerap digunakan.

Boleh dikatakan, kebanyakan lokasi tertentu lengkap dalam Maps.me dan ia membenarkan penggunanya untuk zum masuk serta keluar dengan lancar.

Perincian peta terbabit sudah pasti membantu mencari lokasi menarik di seluruh dunia yang kesemuanya boleh diakses secara ‘offline’, malah fungsi auto ‘suggest’ juga ditawarkan pada aplikasi percuma ini.

Selepas tiba atau mahu mencarinya pada masa yang lain, hanya tandakan lokasi pada Bookmark yang disediakan.

PixlrExpress

Mahu suntingan gambar menarik ketika musim perayaan? Aplikasi PixlrExpress paling mudah dan sangat membantu yang mengandungi puluhan ciri fotografi menambah kreativiti anda.

Ciri yang ditonjolkan dalam aplikasi ini termasuk Filters, Actions, Effects, Adjustments, Overlays, History, Stickers dan Share.

Secara ringkasnya anda boleh menyunting foto melalui puluhan Filters eksklusif secara percuma manakala ciri Stickers juga antara yang mencuri tumpuan kerana anda boleh memanfaatkannya bagi merakam foto anda.

Selepas itu, anda boleh menghantarnya ke mana-mana laman sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter, Flickr, Tumblr, Dropbox, Evernote dan e-mel.

Dropbox

Sudah pasti banyak foto dirakam oleh ramai saudara-mara nanti. Apabila banyak foto dirakam, bagaimana pula untuk berkongsinya sesama ahli keluarga atau rakan?

Paling mudah, gunakan aplikasi Dropbox. Simpan secara ‘cloud’ dan anda boleh berkongsi akses terbabit untuk menyimpan gambar yang dirakam orang lain.

Sudah pasti, ia turut mengelak risiko kehilangan gambar lama akibat kerosakan kad memori SD mahupun kecurian telefon.

Jika diperlukan, anda boleh mengakses dan mendapatkannya daripada akaun Dropbox pada bila-bila masa saja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 11:54 AM